Friday, December 25, 2009

KEMAHIRAN BELAJAR


Assalamualaikum,

Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah Taala, pentadbi sekelian alam. Selawat dan salam untuk rasul junjungan tercinta Saiyidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat baginda.

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR yang lalu. Itulah hadiah berkat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi yang pelajar-pelajar sekelian telah lakukan.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian,

Setiap sesuatu yang ingin kita lakukan di dunia ini akan menjadi mudah sekiranya kita benar-benar mahir tentang perkara tersebut. Untuk menjadi seorang yang mahir, kita perlulah belajar dan membina kemahiran tersebut di dalam diri kita. Apabila kita mahir, setiap perkara yang susah akan menjadi mudah bagi kita. Begitu juga dengan belajar. Belajar dengan seorang pelajar memang tidak dapat dipisahkan. Kadang-kadang kita pernah mendengar kata-kata negatif tentang belajar ini. Belajar tak seronok, memboringkan dan banyak lagi. Mungkin kata-kata ini kita dengar keluar dari mulut teman-teman kita. Tak mustahil juga mungkin keluar dari mulut kita sendiri. Mengapa kata-kata seperti itu terbit dari mulut seorang pelajar?

Jawapannya, kerana ramai pelajar yang belajar tanpa kemahiran yang betul. Kemahiran belajar yang betul perlu dikuasai dahulu oleh para pelajar bagi membolehkan mereka menerima ilmu sebaik mungkin. Dengan kemahiran belajar yang mantap, para pelajar pasti mampu menguasai setiap pelajaran yang dipelajarinya. Oleh itu, kuasailah kemahiran belajar ini sebaik-baiknya. Insya Allah, pelajar-pelajar sekelian pasti akan dapat mengecapi kejayaan seperti sahabat-sahabat kita yang telah berjaya.

Kemahiran belajar ini boleh diperolehi dengan cara menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh beberapa syarikat motivasi seperti MAP dan EXCEL TRAINING. Mungkin ada yang mengatakan kursus-kursus seperti ini agak mahal dan tak mampu untuk mengikutinya. Ada cara yang lebih murah untuk mendapatkan kemahiran belajar tersebut. Caranya adalah dengan membeli buku-buku kemahiran tersebut di kedai-kedai buku. Di negara kita Alhamdulillah, terdapat banyak buku-buku kemahiran belajar yang telah ditulis di dalam bahasa melayu. Pelajar-pelajar boleh memilihnya mengikut citarasa pelajar-pelajar sendiri.

Friday, December 11, 2009

TUHANKU....



Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu
Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu
Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti
Oh Tuhanku
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendambakan cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu
Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau padaku
Tuhan
Diri ini tidak layak ke syurgaMu
Namun tidak pula aku sanggup ke nerakaMu
Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Mogaku kan selamat
Di dunia dan Akhirat
Seperti rasul dan sahabat.

Friday, December 4, 2009

PEMBANGUNAN DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN DIRI...


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam buat rasul junjungan yang tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta sahabat-sahabat baginda...

Petang kelmarin ketika berehat sekejap selepas habis membaca buku nahu arab, saya membuka majalah solusi isu 14 yang baru dibeli. Isu yang dipaparkan pada keluaran kali ini bagi saya amat menarik. Ketika membelek satu persatu aktikel di dalam majalah tersebut, pandangan saya terhenti pada artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Muhamad Zakaria yang bertajuk ' Sifat Orang Cemerlang'. Kata beliau, untuk menjadi cemerlang anda harus membangunkan diri terlebih dahulu. Tenaga untuk membangunkan diri harus datang dari dalam diri, bukan daripada orang lain.

Di sini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekelian kaedah-kaedah yang ditulis beliau bagi membangunkan diri kita agar menjadi insan cemerlang:

1. Keyakikinan yang tinggi kepada Allah.

2. Disiplin yang mantap.

3. Ada motivasi dan inisiatif diri yang kuat.

4. Meningkatkan pelbagai kemahiran.

5. Sentiasa muhasabah diri.

Inilah di antara kaedah-kaedah untuk membangunkan diri kita agar tergolong di dalam insan cemerlang. Untuk menjadi cemerlang, satu soalan yang penting perlu kita tanya pada diri kita ialah ' Nak ke tak nak?' Kerana kehendak yang kuat akan mendorong kita melakukannya. Akhirnya, renungilah firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.

wassalam.

Monday, November 30, 2009

KEANEHAN MANUSIA...


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pencipta sekelian alam. Selawat dan salam khas buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.

Kali ini saya ingin membawa para pembaca merenung dan memikirkan beberapa keanehan yang terdapat pada manusia, moga-moga kita dapat mengambil iktibar dan dijauhkan daripada keanehan-keanehan tersebut.

Keanehan pertama:
Ramai manusia akan berasa sudah terlewat apabila waktu mula bekerja pada jam 8 pagi tetapi mereka sampai ke tempat kerja pukul 8.05 pagi. Mereka mungkin akan menyalahkan kesesakan lalu lintas tang terpaksa ditempuhi. Besoknya mereka akan bertolak lebih awal untuk memastikan mereka tidak terlambat lagi. Namun begitu lain pula keadaannya pada waktu solat. Apabila waktu solat dah masuk dan mereka tiada apa-apa perkara mustahak yang hendak dibuat pada waktu itu lebih selesa melambat-lambatkan solat hingga waktu hendak berakhir. Mereka berasa masih belum terlambat dan tiada berhutang apa-apa dengan tuan punya waktu.

Keanehan kedua:
Ramai manusia terharu melihat anak-anak kecil didera ibu bapa sendiri atau orang lain. Hati mereka tersentuh dan mengutuk orang yang melakukan kekejaman itu. Tetapi mereka tidak merasa apa-apa setelah membiarkan anak-anak tidak bersolat atau membiarkan anak-anak gadis mereka bebas mendedahkan aurat sewaktu keluar dari rumah. Padahal anak-anak tersebut bakal menerima seksaan yang amat pedih di akhirat kelak jika masih berkelakuan seperti itu. Ibu bapa seolah-olah merelakan anak mereka disiksa di dalam neraka. Bahkan ibu bapa juga akan turut dipertanggungjawabkan dihadapan Allah tentang tanggungjawab mereka.

Ini di antara keanehan manusia yang sering berlaku di dalam masyarakat kita. Sebagai orang islam, kita perlu utamakan Allah dan Rasul di dalam hidup kita. Insya Allah, kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Marilah kita banyakkan membaca kisah para sahabat dan ulamak-ulamak terdahulu serta menyelusuri jalan-jalan mereka kerana mereka telah diiktiraf Allah sebagai golongan yang berjaya di dalam surah al-fatihah dan al-waqiah.

Wednesday, November 25, 2009

PENGHALANG-PENGHALANG KEJAYAAN...


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian yang hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam buat rasul tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Para pelajar yang disayangi sekelian,
Semua orang di dunia ini impikan kejayaan di dalam hidup mereka. Jika diberi pilihan sama ada kegagalan atau kejayaan, pasti kejayaan yang menjadi pilihan. Tiada siapa yang inginkan kegagalan di dalam hidup mereka. Tetapi tanpa kita sedar, kadang-kadang kita melakukan perkara-perkara yang boleh membawa diri kita ke arah kegagalan. Bagi memelihara diri kita terjatuh ke dalam lubuk kegagalan, kita perlu mengkaji langkah-langkah untuk menuju kejayaan. Selain daripada itu, kita juga harus mengkaji duri-duri yang menghalang perjalanan kita untuk mencapai kejayaan. Mengkaji faktor-faktor penghalang ini sama pentingnya dengan mengkaji langkah-langkah kejayaan. Kerana setelah mengetahui punca penyakit, barulah kita boleh mencari ubat yang sesuai dengan penyakit tersebut.

Di antara faktor-faktor penghalang kejayaan tersebut ialah:

1. Malas.
2. Tidak bermotivasi.
3. Tiada kehendak dan komitmen yang tinggi.
4. Tiada kemahiran belajar.
5. Mengabaikan perintah dan larangan Allah.
6. Berfikiran negatif.
7. Berimej negatif.
8. Tiada persediaan awal.
9. Terpengaruh dengan persekitaran.
10. Suka bertangguh.
11. Tidak belajar daripada kesilapan lalu.
12. Membuang masa.
13. Tidak berdisiplin.
14. Tiada keyakinan diri.