Friday, June 26, 2009

WAJAH DAN HARAPAN...


Assalamualaikum...
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Sempurna...Selawat dan salam untuk sebaik-baik makhluk, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.
Para rakan guru sekelian,
Melalui blog ini saya ingin kemukakan satu soalan...Pernahkah kita melihat dan merenung wajah-wajah anak didik kita sedalam-dalamnya? Jika belum, saya sarankan cubalah renungkan wajah-wajah tersebut sedalam-dalamnya mulai esok...Cuba kita lihat sinar mata yang menggunung pelbagai harapan yang tinggi kepada kita...Harapan agar suatu hari aku akan mampu mengecapi kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup...Cahaya mata tersebut tidak pernah padam kerana itulah petunjuk harapan mereka...Mereka yang suatu hari nanti akan menggantikan tempat yang telah dan sedang kita berdiri sekarang...Mahukah kita lihat nanti bilangan penagih dadah lebih ramai dari doktor? Bilangan penjenayah lebih ramai dari polis? Bilangan Mat Rempit lebih ramai dari guru dan pensyarah? Jika dilontarkan persoalan ini kepada sesiapa sahaja tentu jawapan yang kita terima adalah sama iaitu 'tidak'. Tetapi tanpa kita sedari, kita telah mengiyakannya dengan sikap dan perbuatan kita sendiri...

Sahabat-sahabat guru sekelian,
Kita takkan mampu mengubah anak-anak didik kita, selagi kita tidak berusaha mengubah diri kita sendiri. Kita takkan mampu membina generasi yang berfikiran positif jika kita sendiri masih diselubungi pemikiran negatif. Lakukanlah islah terhadap diri kita terlebih dahulu, insya Allah kit akan dapati perubahan tersebut akan berlaku terhadap anak didik kita...Pancarkanlah kekuatan kasih sayang kepada mereka bukannya kekuatan kemarahan...Biar macam mana sikap dan sifat mereka, mereka tetap anak-anak didik kita yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita...Marilah kita belajar menyayangi mereka sepertimana kita menyayangi anak-anak kita sendiri...Jika anak-anak kita, kita sentiasa inginkan dan impikan kejayaan mereka, begitulah juga dengan anak-anak didik kita...Harapan mereka sama seperti harapan anak-anak kita terhadap diri kita...Semoga kita menjadi guru yang terbaik untuk anak-anak didik kita...

"Ya Allah, jadikanlah kami pendidik-pendidik yang terbaik untuk anak-anak didik kami. Agar dapat kami tunaikan amanah yang telah Engkau pikulkan ke atas kami, Ya Arhamarrahimin."

Monday, June 15, 2009

PEMBELAJARAN TIDAK FORMAL...


Assalamualaikum....
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam khusus untuk baginda Rasulallah s.a.w, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda....

Petang yang bertuah ini ingin rasa di hati berkongsi dengan para pembaca tentang beberapa perkara yang benar-benar menyentuh hati saya. Perkara-perkara tersebut sentiasa membuatkan saya terfikir-fikir tentang rahmat Allah ke atas para makhlukNya. Dan perkara-perkara tersebut juga membuatkan saya bersetuju dengan kata-kata, jangan menilai buku hanya pada kulitnya sahaja. Benarlah kata cerdik pandai, alam ini Allah jadikan sebagai bahan pembelajaran bagi mereka yang sentiasa berfikir.

Apakah perkara yang berlaku yang menyebabkan hati saya tersentuh?

Saya mempunyai satu tabiat pelik iaitu suka memerhati gelagat manusia. Di mana saja saya pergi, pasti saya akan melihat gelagat-gelagat manusia sekeliling dengan harapan saya akan dapat mengambil beberapa pengajaran. Ketika belajar di bumi mesir dulu, saya suka melihat gelagat orang arab terutamanya ketika berada di dalam bas. Dari situ saya dapati beberapa akhlak-akhlak mulia yang ada pada bangsa arab yang kurang ada pada bangsa melayu. Kerana sering melihat gelagat-gelagat merekalah saya sering nasihatkan kepada adik-adik baru supaya jangan hanya mencari keburukan orang-orang arab, tetapi cuba cari kebaikan-kebaikan mereka. Mereka pasti akan dapat melihat keindahan akhlak yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.

Di sekolah pula, saya akan pergi ke kantin pada waktu rehat pelajar. Disamping dapat memerhatikan gelagat anak-anak ini, saya mengambil kesempatan untuk membimbing mereka adab-adab makan yang telah mereka pelajari. Ketika bersama mereka inilah saya telah tersentuh dengan satu peristiwa yang tak pernah saya lupa hingga ke hari ini.

Ada seorang pelajar tahun enam yang merupakan seorang yang agak hardcore dalam kenakalannya. jika disebut namanya di hadapan para guru, semua guru boleh tahu bagimana perangai dan tahap kenakalannya. Apa yang menarik hati saya terhadap pelajar ini ialah suatu hari ketika dia hendak makan nasi, saya lihat dia mengangkat tangan membaca doa terlebih dahulu sebelum menjamah nasi tersebut. Perkara tersebut sentiasa dilakukan ketika dia hendak makan sesuatu makanan seolah-olah membaca doa makan, dah menjadi tabiatnya. Walaupun dia bukanlah seorang yang bijak, tetapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk beramal dengan sedikit ilmu yang dia perolehi kerana tak semua orang boleh menjadikan membaca doa makan ini sebagai satu amalan. Melihat perilaku pelajar tersebut, saya terfikir, walaupun sering dikenali dengan sifat nakal, tetapi rupa-rupanya masih ada nilai murni yang terselindung di dalam dirinya.

Sahabat-sahabat guru sekelian,
Sebenarnya anak-anak murid kita penuh dengan potensi dan nilai-nilai murni yang terpendam dan kadang-kadang ditutupi dengan sikap dan perangai mereka yang kita tidak suka. Namun kita harus ingat dan sedar bahawa tugas kitalah nak menzahirkan potensi-potensi dan nilai-nilai murni tersebut. Kita diamanahkan oleh Allah bukan untuk menjadi hakim kepada anak-anak didik kita tapi sebagai pengajar, pendidik dan pembimbing mereka agar mereka menjadi manusia yang sentiasa mendapat pandangan baik daripada Allah dan masyarakat.