Sunday, October 18, 2009

TOKOH j-QAF SK SADR 2009


Nama pelajar ini, Siti Nur Fatihah bt. Ahmad Basri. Diputerikan pada 10 April 1998 di Hospital Besar Alor Setar. Anak kedua daripada tiga adik beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang doktor bedah apabila dewasa nanti. Tokoh yang menjadi idola kepadanya ialah Dr. Sheikh Muzafar, Adi Putra dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kejayaan yang telah dicapai olehnya sepanjang berada di sekolah ini ialah:
1. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2005.
2. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2006.
3. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2007.
4. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2008.
5. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun 2009.
6. Tempat kedua di dalam pertandingan bercerita peringkat PKG Alor Janggus tahun 2007.

Antara cara belajar yang diamalkan olehnya sehingga mampu memperolehi kejayaan seperti di atas ialah:
1. Memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.
2. Menyiapkan kerja rumah secepat yang mungkin.
3. Sentiasa melakukan latihan terhadap matapelajaran yang dipelajari.
4. Sentiasa cuba mendekati guru.
5. Memperutukkan sekurang-kurangnya sejam untuk belajar di rumah.
6. Selalu bertanya jika tidak memahami sesuatu pelajaran.

Thursday, October 15, 2009

GURU....WIRA DIHATI MURID


Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, ’komited’ dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.

PROGRAM MOTIVASI TAHUN 5 2009




Hari ini ( 15.10.09 ) SK Seri Amar Diraja telah mengadakan satu program motivasi khas untuk pelajar-pelajar tahun 5 sebagai persediaan mereka untuk melangkah ke tahun 6 tahun hadapan.Motivasi yang bertajuk 'mengenali diri dan potensi diri' ini disampaikan oleh Encik Yazi bin Keria, salah seorang pensyarah di IPDA. Para pelajar telah diajar mengenali diri dan potensi mereka dengan sebaiknya. Mereka juga didedahkan dengan cara bagaimana hendak menjadi anak-anak yang sayang kepada ibu bapa. Selain itu, mereka juga diajar bagaimana caranya hendak mencipta matlamat. Program ini berakhir pada pukul 1.20 petang.

Sunday, October 11, 2009

DOA PENGUNCI HAFALAN


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Tuhan yang maha Bijaksana. Selawat dan salam untuk rasul penyampai risalah, penunai amanah Allah dan penasihat seluruh umat, Saidina Muhammad, juga para ahli baginda serta sahabat-sahabat dan pewaris-pewaris baginda.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekelian satu amalan para ulama terdahulu untuk berjaya di dalam menuntut ilmu. Amalan ini dinamakan ' Doa pengunci hafalan'. Doa ini diambil daripada ayat 171 surah al-a'raf. Ia dibaca selepas selesai belajar atau mengulangkaji bertujuan untuk mengunci perkara-perkara telah dipelajari dalam sistem ingatan, insya Allah.
' Selamat beramal dan semoga berjaya!'

Friday, October 2, 2009

MENCAPAI ILMU YANG MANFAAT


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Berilmu lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia, gedung ilmu yang agung, Saidina Muhammad S.A.W, para ahli baginda serta sahabat-sahabat baginda.

Sabda Rasulallah S.A.W yang bermaksud: Tuntutlah ilmu bermula dari buaian hingga ke liang lahad. Melalui hadis tersebut, rasulallah S.A.W telah menyuruh dan memerintah kita supaya sentiasa menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan. Tak kira berapa usia kita, tuntutan menuntut ilmu ini harus digalas dengan sebaiknya.

Menuntut ilmu bukanlah satu perkara yang mudah. Sebab itu Nabi Muhammad mengumpamakan keluar menuntut ilmu itu seperti keluar berjihad di medan perang dan mati di dalam menuntut ilmu dikira sebagai syahid. Dalam menuntut ilmu ini, kita memerlukan satu matlamat yang jelas bagi memudahkan kita memperolehi ilmu. Matlamat yang paling penting dan utama di dalam menuntut ilmu ini ialah memperolehi ilmu yang manfaat. Hanya ilmu yang manfaat sahaja dapat membawa dan membimbing kita mendekatkan diri kepada Allah dan membawa kita supaya lebih takut kepada Allah.

Untuk mendapatkan ilmu yang manfaat, beberapa perkara perlu dilakukan. Antaranya:


1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang alim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak..-Riwayat oleh Abd. Razak-

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT.
"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu"surah Toha ayat 114

3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW
Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim-Riwayat Abu Daud-
Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru ytang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masakita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT

Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu

Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :
Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat - Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"Surah al-Isra' ayat

4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui"surah al-Munafikun ayat 8

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya"
surah Fathiir ayat 10

5)Beramal dengan apa yang dipelajari

Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"surah al-Baqarah ayat 44

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendalah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima" surah Ali Imran ayat 187