Monday, May 17, 2010

LANGKAH KE ARAH KEJAYAAN....


Assalamualaikum,

Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan mulia, Sayyidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...

Jika ditanya adakah kita inginkan kejayaan, pasti ramai yang menginginkannya. Namun untuk mendapatkan kejayaan tidaklah semudah menyebutnya. Kita perlu membina sikap yang betul, iaitu sikap yang telah diamalkan oleh mereka yang telah mencapai kejayaan. Jika sikap ini tidak kita jadikan sebagai pakaian kita, kejayaan yang diimpikan hanya menjadi angan-angan yang kosong. Ia pasti akan terbang apabila ditiup angin.

Antara langkah-langkah mereka yang telah berjaya mencipta kejayaan ialah:

1. Mencipta matlamat yang ingin dicapai.

Kepastian matlamat adalah langkah pertama semua pencapaian. Oleh sebab ketiadaan matlamat, 98 peratus manusia gagal dalam hidup mereka. Ini kerana mereka tidak pernah benar-benar memastikan dahulu matlamat mereka dan mulai bergerak ke arahnya. Jika kita fikirkan mengenai mereka yang memperolehi kejayaan yang berkekalan, kita dapati mereka mempunyai matlamat utama yang jelas. Mereka juga mempunyai rancangan masing-masing bagi mencapai matlamat tersebut. Selain itu, mereka juga mengerahkan sebahagian besar fikiran dan usaha mereka bagi merealisasikan matlamat itu.

2. Kehendak ingin berjaya.

Orang yang berjaya mempunyai kehendak ingin berjaya yang cukup luar biasa. Mereka berkeinginan yang sangat kuat bagi merealisasikan matlamat yang disasarkan. Dengan kehendak yang kuat inilah yang akan menggerakkan mereka untuk bertindak ke arah mencapai sasaran tersebut.

3. Yakin berjaya.

Keyakinan yang tinggi pada diri sendiri merupakan elemen yang sangat penting untuk berjaya. Ini kerana, melalui keyakinan, seseorang semakin terdorong dan bersemangat untuk bertindak, melakukan pelbagai usaha dan mencari jalan bagi mencapai kejayaan yang diimpikan. Keyakinan mendorong kita ke arah kejayaan sebagaimana keraguan mendorong kita ke arah kegagalan.

4. Kembangkan keghairahan untuk berjaya.

Tanpa keghairahan dan semangat untuk melakukan sesuatu, seseorang tidak akan melakukannya. Keghairahan ibarat api yang membakar pemikiran yang positif supaya menjadi tindakan.

5. Membayangkan matlamat.

Mereka yang sentiasa membayangkan matlamat, insya Allah akan mencapai matlamat tersebut. Apabila kita sering membayangkan matlamat yang ingin diraih, maka kekuatan kreatif minda bawah sedar kita diaktifkan. Selain itu, otak kita juga menumpukan perhatian kepada sumber yang tersedia di sekeliling kita yang sebenarnya sudah ada sejak dahulu lagi tanpa kita sedari. Ia juga mengaktifkan minda bawah sedar kita bagi mencari jalan ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan.

6. Bertawakal dan berserah kepada Allah.

Sebagai makhluk, kita perlu sedar, kita takkan mampu meraih kejayaan tanpa izin dan kehendak Allah Taala, walaupun sekuat mana usaha dan keinginan kita. Hanya Dialahlah yang Maha Berkuasa merealisasikan apa yang kita cita-citakan. Maka di sini perlulah kita bertawakal dan berserah kepadaNya serta tak putus-putus memohon kepadaNya.