Saturday, February 14, 2009

BICARA MENENTUKAN PERIBADI


Berbicara dan bercakap-cakap adalah perkara yang menjadi lumrah kepada manusia. Kelebihan berbicara ini dinisbahkan kepada manusia ( hayawan an natiq ) menurut ilmu mantiq dalam membezakan antara manusia dan haiwan lain. Itulah di antara anugerah Allah kepada manusia yang disebut di dalam Al-Quran sebagai sebaik-baik kejadian ( surah At-tin, ayat 4 ).

Namun apa yang perlu kita sedari anugerah berbicara ini telah membahagikan manusia kepada 4 golongan iaitu :

1) Bicara orang yang bijak

Orang yang bijak apabila berbicara, setiap kata-katanya jelas dan bernilai. Setiap perbualannya sarat dengan ilmu, hikmah dan zikir, sehingga setiap orang yang mendengar berasakan manfaat daripada kata-katanya. Apabila berbicara sesuatu, dia selalu memberikan sesuatu yang berfaedah kepada orang yang mendengarnya. Kata-kata orang bijak ini selalu dinanti-nantikan. Namun, biasanya orang yang bijak tidak terlalu melepaskan kata-katanya. Bahkan, dirinya lebih senang mendengar orang lain bercakap bagi mengambil hikmah daripada percakapan itu.

2) Bicara orang biasa

Orang biasa kebiasaan bicaranya kosong tiada asas. Segala kejadian yang dilihat dijadikan cerita ataupun dijadikan ulasan. Waktu yang digunakan bagi berkata-kata lebih banyak daripada nilai yang diperoleh. Bicaranya hanya bicara kosong dan tiada nilai walaupun sedikit. Contohnya, dia hanya sibuk bercerita mengenai bola sepak, pelanggaran kereta, gosip dan isu sesuatu perkara yang tidak ada hikmahnya. Orang yang sibuk berbicara tanpa ada pengajaran, ilmu dan zikir adalah orang yang biasa. Orang yang membiarkan waktu berlalu dengan begitu sahaja.orang itu berada di dalam kerugian.

3) Bicara orang yang martabatnya rendah.

Bicara orang yang martbatnya rendah adalah bicara yangberisi keluhan, hinaan, cacian dan makian. Orang seperti ini sebenarnya tidak pernah menerima semua yang ada di hadapannya. Dia sering sahaja mencari segala kekurangan benda di sekelilingnya. Semua perkara tidak ada yang sesuai dengan kehendaknya dan menjadi perkara yang kurang senang di matanya. Golongan ini hanya berbicara mengenai keburukan sahaja. Setiap perkataan yang diungkapkan hanya merperlihatkan kehinaan dirinya.

4) Bicara orang yang dangkal.

Orang yang dangkal hanya sibuk menceritakan kehebatan dirinya sendiri. Golongan ini mahu dirinya dihargai oleh masyarakat sehingga selalu menyebut mengenai kebaikan yang dilakukannya. Biarpun kebaikan dibuat itu hanya sedikit tetapi dia ingin semua orang tahu kebaikan yang dibuat itu agar dirinya sentiasa mendapat tempat di hati manusia.

Jadi, dalam golongan manakah kita berada apabila kita berbicara? Seandainya termasuk dalam golongan yang pertama, kita tergolong di dalam golongan yang berjaya dan cemerlang. Jika kita tidak mampu menjadi orang yang bijaksana dalam berbicara, biarlah diam menjadi perhiasan mulut dan lidah kita. Orang yang sanggup memelihara lidahnya lebih hebat berbanding dengan orang yang suka menghambur kata-kata, tetapi kosong dan tiada makna. Jadikanlah sabda Rasulallah s.a.w ( barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berbicara perkara yang baik ataupun diam ) sebagai panduan kita apabila ingin berbicara. Ingantlah Allah Taala maha mendengar setiap patah perkataan yang terbit dari bibir kita. Semoga Allah yang maha mendengar meletakkan kita di kalangan hamba-hambaNya yang berasa diri mereka hampir dengan Allah.

Wallahu a’lam.

1 comment:

Surahyo Sumarsono said...

Ass wr wb,
Sangat bermanfaat, mohon ijin saya kutip dan posting di Facebook saya.
Wass wr wb
Surahyo