Sunday, March 15, 2009

2 SIFAT KECERDASAN SPIRITUAL YANG TINGGI.


Assalamualaikum dan salam sejahtera... Di sini saya ingin berkongsi sebuah hadis yang menerangkan tentang dua sifat orang yang memiliki kecerdasan spiritual yang tinggi.

"Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan R.A berkata, Rasulallah S.A.W bersabda, sungguh baik nasib orang yang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka dia akan bersabar, maka sabar itu baik baginya." H.R Muslim.

Begitulah hebatnya sifat orang yang beriman, iaitu mereka yang memiliki kecerdasan spiritual yang tinggi kerana keimanan yang kuat kepada Allah Taala. Di dalam kehidupan mereka, mereka sentiasa mendapat kebaikan dan rahmat daripada Allah. Ini disebabkan sifat syukur dan sabar yang tinggi yang mereka miliki. Di dalam kehidupan di dunia ini kita pasti takkan lari daripada dua keadaan ini iaitu nikmat dan ujian. Untuk menjadikan kedua-dua keadaan ini baik bagi kita kita perlulah memiliki dua sifat di atas. Berusahalah untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur atas segala anugerah dan nikmatnya dan sentiasa bersabar atas segala ujian dan bala daripadaNya.

Tuesday, March 10, 2009

YA NABI SALAMUN ALAIK...



Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam buat rasul tercinta, saidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat.
Bulan ini bulan yang cukup berkat bagi kita. Bulan ini merupakan bulan kelahiran seorang manusia pilihan yang agung. Seorang nabi dan rasul yang mulia. Diutus Allah sebagai rahmat dan penyelamat di alam ini. Tanpanya kita tidak kenal Tuhan pencipta kita. Dan tanpanya juga kita tidak dapat membezakan yang mana hak dan yang mana batil. Terima kasih ya Allah kerana telah menganugerahi kami seorang pembimbing yang hebat. Terima kasih ya Rasulullah kerana sanggup bersusah payah demi membawa umatmu menuju jalan yang diredhai oleh Allah.
Kita takkan mungkin dapat mencapai cinta Allah selagimana kita tidak dapat mengikut rasulallah sebaik-baiknya, tidak dapat menjadikan sunnah baginda sebagai pakaian dan tidak menjadikan cinta kepada baginda sebagai cinta yang paling berharga yang perlu dijana di dalam hati. Bersempena bulan yang penuh barakah ini, marilah kita sama-sama menjadikan hari ini titik permulaan untuk kita bermujahadah mencapai cinta Allah dan RasulNya. Perbanyakkanlah berselawat ke atas Saidina Rasulallah S.A.W kerana hanya dengan berselawat ke atas baginda sahaja cinta ini dapat dilahirkan.
Ayuhlah para sahabat, jadikanlah amalan berselawat ini sebagai makanan rohanimu dan keluargamu setiap hari. Jangan biarkan hari-harimu berlalu tanpa ucapan " ALLAHUMMA SOLLI ALA SAIDINA MUHAMMAD WA ALA ALIHI WASAHBIHI WABARIK WASALLIM."