Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.
Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, ’komited’ dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.
Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.
No comments:
Post a Comment