Friday, December 5, 2008

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA



Alhamdulillah kita semua masih dipanjangkan usia untuk sama-sama
memperingati hari yang merupakan hari kebesaran dalam takwim Islam.
Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan sama-sama menyambut Aidil
Adha. Hari Raya Korban yang menjadi simbol dan lambang pengorbanan
dalam kehidupan kita seharian.

Saya ingin mengajak diri saya dan sahabat semua untuk kita
mengimbas kembali pengorbanan insan mulia di sisi Allah SWT, iaitu
Nabi Allah Ibrahim menjadi simbol pengorbanan agung di hati umat
Islam. Betapa Ibrahim begitu mendambakan seorang anak sehingga
baginda tidak putus-putus berdoa kepada Allah. Sehinggalah di akhir
usianya ketika baginda berumur 83 tahun, barulah doanya
diperkenankan oleh Allah. Dikurniakan Ismail sebagai permata hati
dan pengubat sepi. Namun mendapat gelaran seorang ayah,ujian
terhadap baginda bukan berakhir di situ.

Seorang ayah yang soleh, sudah pasti memberikan kasih sayang yang
terbaik untuk anaknya. Begitulah juga Ibrahim, menumpahkan
sepenuhnya rasa cinta kepada Ismail. Lantaran rasa kecintaan itu,
Allah SWT telah menguji Ibrahim untuk mengobankan Ismail darah
dagingnya sendiri. Itulah pengorbanan teragung yang perlu kita
sebagai umat Islam selami.

Hakikat pengobanan begitu luas untuk ditafsirkan. Lebih-lebih lagi
pengorbanan kita terhadap agama. Apakah yang telah kita korbankan?
Ramai di antara kita berkorban untuk keluarga, berkorban untuk
suami isteri, berkorban untuk organisasi, tetapi jarang kita
mendengar di usia dunia sekarang ini kita berkorban untuk agama.
Mudah-Mudahan kehadiran Aidil Adha tahun ini membakar kembali
semangat pengorbanan kita untuk menilai usia dan diri kita, apakah
intipati yang kita berikan kepada agama kita. SELAMAT MENYAMBUT
AIDIL ADHA 2008.

No comments: