Saturday, December 27, 2008

AZAM BARU YANG CEMERLANG



Pejam celik, pejam celik, tahun 1429 hijrah dan tahun 2008 masihi semakin berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar kita kini semakin melangkah ke tahun baru. Kebiasaannya, kita tidak pernah melangkah ke tahun baru begitu saja, tetapi kita pasti akan bawa bersamanya sebuah azam dan cita-cita yang baru. Semua manusia menginginkan setiap azam yang diciptanya dapat ditunaikan. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Azam yang dibentuk pada awal tahun yang lalu, masih belum dapat ditunaikan dengan sempurna walaupun sudah berada di ambang tahun baru. Apakah yang perlu dilakukan agar perkara sebegini tidak berulang lagi pada tahun baru ini?

Azam baru memerlukan perancangan dan gerak kerja yang tersusun serta sifat istiqamah yang tinggi bagi mencapai impian yang telah digariskan. Tanpa tindakan proaktif daripada diri, azam hanya akan tinggal azam tanpa hasil yang boleh dibanggakan. Untuk memastikan azam ini dpat direalisasikan, kita perlu lakukan perkara yang diazamkan itu sekarang dan di mana juga kita berada. Apa yang kita fikirkan baik untuk diri kita dan orang lain, selagi tidak bertentang dengan kehendak islam, lakukanlah sekarang. Masa tidak pernah menunggu dan menanti kita. Uruskanlah diri kita dengan masa yang ada dan belajarlah berani membuat keputusan terhadap azam dan cita-cita yang ada di hadapan kita kerana dengan menangguhkan keputusan, kita akan menempah kegagalan dan kekecewaan dalam mengejar impian.

Justeru itu, untuk mencipta kecemerlangan diri berpandukan azam dan cita-cita di tahun baru, mulakan dari sekarang. Mulai langkah pertama dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa kita mempunyai misi dan visi penting sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi.

No comments: