Saturday, December 27, 2008

AZAM BARU YANG CEMERLANG



Pejam celik, pejam celik, tahun 1429 hijrah dan tahun 2008 masihi semakin berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar kita kini semakin melangkah ke tahun baru. Kebiasaannya, kita tidak pernah melangkah ke tahun baru begitu saja, tetapi kita pasti akan bawa bersamanya sebuah azam dan cita-cita yang baru. Semua manusia menginginkan setiap azam yang diciptanya dapat ditunaikan. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Azam yang dibentuk pada awal tahun yang lalu, masih belum dapat ditunaikan dengan sempurna walaupun sudah berada di ambang tahun baru. Apakah yang perlu dilakukan agar perkara sebegini tidak berulang lagi pada tahun baru ini?

Azam baru memerlukan perancangan dan gerak kerja yang tersusun serta sifat istiqamah yang tinggi bagi mencapai impian yang telah digariskan. Tanpa tindakan proaktif daripada diri, azam hanya akan tinggal azam tanpa hasil yang boleh dibanggakan. Untuk memastikan azam ini dpat direalisasikan, kita perlu lakukan perkara yang diazamkan itu sekarang dan di mana juga kita berada. Apa yang kita fikirkan baik untuk diri kita dan orang lain, selagi tidak bertentang dengan kehendak islam, lakukanlah sekarang. Masa tidak pernah menunggu dan menanti kita. Uruskanlah diri kita dengan masa yang ada dan belajarlah berani membuat keputusan terhadap azam dan cita-cita yang ada di hadapan kita kerana dengan menangguhkan keputusan, kita akan menempah kegagalan dan kekecewaan dalam mengejar impian.

Justeru itu, untuk mencipta kecemerlangan diri berpandukan azam dan cita-cita di tahun baru, mulakan dari sekarang. Mulai langkah pertama dengan penuh keinsafan dan kesedaran bahawa kita mempunyai misi dan visi penting sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi.

Tuesday, December 23, 2008

ADUHAI MURIDKU SAYANG.....


Muridku sayang,
Dirimu ibarat sehelai kain putih
Perlu diwarna dan dilukis sebaiknya
Agar dirimu....
Indah pada pandangan mata
Tinggi pula nilai harganya

Muridku sayang...
Hari ini
Adalah medan bagimu
Yang perlu kau titiskan keringatmu
Untuk memastikan hari esokmu
Gemilang bak bintang
Berkilau bak intan
Dirimu jadi rebutan
Dan terhangat di pasaran

Muridku sayang...
Perjalanan hidupmu kini
Penuh dengan onak dan duri
Jika dirimu alpa
Menitislah darah sucimu
Kerana ditusuk onak dan duri itu
Lukanya amat pedih
Dan terlalu lama untuk sembuh

Ingatlah wahai muridku sayang...
Dirimu kini sedang meniti
Sebuah lorong yang amat gelap
Tak mampu kau melaluinya
Seorang diri
Tanpa cahaya dan pemandu
Kau amat memerlukan pemandu dan cahaya itu
Agar perjalananmu menuju sinar yang terang
Tidak mememui kesukaran
Pemandu itu sentiasa berada di sisimu
Tulus ikhlasnya membantu dirimu
Tanpa kenal erti jemu
Bakti terus ditaburkan untukmu
Dampingilah dia setulus hatimu
Kerana bersamanya
Ada cahaya yang kau perlukan

Monday, December 22, 2008

KESAN ZIKIR TERHADAP OTAK


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.



Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.


Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kaji an yan g dilakukan di Universiti
Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.


Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkata an yan g diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Saturday, December 20, 2008

KECEMERLANGAN CARA ISLAM


WUDHU' DAN MENGHADAP KIBLAT

MENGEKALKAN WUDHU'
Mengekalkan wudhu' adalah amalan orang-orang soleh. Allah amat menyintai orang yang sentiasa berwudhu'. Berwudhu' berfaedah untuk meningkatkan tenaga fikiran. Wudhu' adalah pencuci dosa dan ianya mempunyai cahaya. Cahaya wudhu' menghapuskan kekaratan hati yang berdosa dan menerangi hati yang gelap.

SENTIASA MENGHADAP KIBLAT
Sentiasa duduk menghadap kiblat apabila melakukan aktiviti menuntut ilmu mengandungi hikmah rohaniah dan Ilahiah untuk mencergaskan jasmani dan fikiran. Lebih-lebih lagi menghadap kiblat semasa melaksanakan kegiatan menuntut ilmu adalah sunat, mendapat pahala dan keberkatan yang besar. Kiblat adalah arah umat Islam dari seluruh dunia bersolat, berdoa dan beribadah. Ia menjadi tumpuan para rasul, nabi, wali dan sekalian umat Islam semenjak dahulukala untuk beribadat.

SEMBAHYANG MENGELOKKAN STRUKTUR OTAK

Pengarang buku 'Namaz' yang terkenal, Ashraf F. Nizami menyebut 31 kelebihan sembahyang. Antaranya ialah menghindarkan kemalasan, mendatangkan kegembiraan, membangkitkan tenaga penyenbuhan, mengembangkan fizikal dan minda, MENGELOKKAN STRUKTUR OTAK, MENEGUHKAN MENTAL DAN FIZIKAL, MENAJAMKAN KECERDASAN DAN MENINGKATKAN KEPINTARAN.

Sembahyang bukan sahaja dapat menghindarkan penyakit rohani malah penyakit jasmani, mental dan psikologi sekaligus. Antara manfaat solat dari sudut kesihatan jasmani ialah memulihkan dan menghindarkan penyakit jantung, perut dan usus, kencing manis, barah sendi, sakit tulang, sakit mata, telinga, hidung dan perut; mengurangkan tekanan darah tinggi, menghindarkan kegemukkan dan kebuncitan. Dari sudut psikologi, sembahyang membawa kesegaran terhadap sistem saraf yang membawa kepada terhapusnya ketegangan, kegelisahan, stress, imsomnia (sukar tidur) serta mencetuskan ketenangan dan kedamaian jiwa. Ia juga menjadikan seseorang itu aktif dan lincah serta terhindar dari sifat kemalasan dan kelesuan. Solat juga dapat mengaktifkan dan mencergaskan minda.

Gerakan-gerakan dalam solat merupakan satu set senaman yang terbaik. Setiap gerakan solat seperti berdiri, rukuk dan sujud mempunyai faedah dan khasiatnya yang tersendiri. Perkara ini dibicarakan dengan panjang lebar di dalam penulisan pakar-pakar perubatan serta ilmuan timur dan barat. Sujud misalnya, dapat menguatkan otot perut, mengelakkan perut menjadi buncit, menurunkan tekanan darah tinggi, menambah aliran darah ke bahagian kepala, otak dan paru-paru, MENCERGASKAN OTAK, racun-racun minda dapat dibersihkan oleh darah dan meningkatkan kekuatan sendi-sendi.

Dr. Alexis Carlyle, Ketua Bahagian Penyelidikan Yayasan Rockfeller Amerika juga sebagai pemenang Hadiah Nobel Perubatan menegaskan, "Sembahyang adalah suatu pembicaraan tentang sebahagian daripada aktiviti sistem anggota badan, bahkan ia adalah alat yang sangat berkesan untuk mencapai kecergasan."

Kecergasan yang dimaksudkan meliputi kecergasan tubuh badan dan minda. Gerakan-gerakan di dalam sembahyang memberikan kecergasan dan kekuatan kepada seluruh badan, organ pencernaan dan otak. Perlulah diingatkan bahawa sembahyang mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam meningkatkan kesihatan akal, hati dan seluruh tubuh. Untuk mendapat manfaat sepenuhnya dari solat, ia mestilah ditunaikan dengan perlahan, sempurna dan khusyuk. Lebih baik lagi dilakukan sebanyak-banyaknya iaitu ditambah dengan solat sunat.

Friday, December 5, 2008

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA



Alhamdulillah kita semua masih dipanjangkan usia untuk sama-sama
memperingati hari yang merupakan hari kebesaran dalam takwim Islam.
Dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan sama-sama menyambut Aidil
Adha. Hari Raya Korban yang menjadi simbol dan lambang pengorbanan
dalam kehidupan kita seharian.

Saya ingin mengajak diri saya dan sahabat semua untuk kita
mengimbas kembali pengorbanan insan mulia di sisi Allah SWT, iaitu
Nabi Allah Ibrahim menjadi simbol pengorbanan agung di hati umat
Islam. Betapa Ibrahim begitu mendambakan seorang anak sehingga
baginda tidak putus-putus berdoa kepada Allah. Sehinggalah di akhir
usianya ketika baginda berumur 83 tahun, barulah doanya
diperkenankan oleh Allah. Dikurniakan Ismail sebagai permata hati
dan pengubat sepi. Namun mendapat gelaran seorang ayah,ujian
terhadap baginda bukan berakhir di situ.

Seorang ayah yang soleh, sudah pasti memberikan kasih sayang yang
terbaik untuk anaknya. Begitulah juga Ibrahim, menumpahkan
sepenuhnya rasa cinta kepada Ismail. Lantaran rasa kecintaan itu,
Allah SWT telah menguji Ibrahim untuk mengobankan Ismail darah
dagingnya sendiri. Itulah pengorbanan teragung yang perlu kita
sebagai umat Islam selami.

Hakikat pengobanan begitu luas untuk ditafsirkan. Lebih-lebih lagi
pengorbanan kita terhadap agama. Apakah yang telah kita korbankan?
Ramai di antara kita berkorban untuk keluarga, berkorban untuk
suami isteri, berkorban untuk organisasi, tetapi jarang kita
mendengar di usia dunia sekarang ini kita berkorban untuk agama.
Mudah-Mudahan kehadiran Aidil Adha tahun ini membakar kembali
semangat pengorbanan kita untuk menilai usia dan diri kita, apakah
intipati yang kita berikan kepada agama kita. SELAMAT MENYAMBUT
AIDIL ADHA 2008.

Monday, December 1, 2008

SIFAT SEORANG PENDIDIK YANG CEMERLANG...


Muhammad Athiyah al-Abrasyi ( 1979 : 136-41 ) dalam bukunya DASAR-DASAR POKOK PENDIDIKAN ISLAM mengemukakan beberapa sifat yang harus dimiliki oleh para guru. Sifat-sifat tersebut dapat diringkaskan seperti berikut :

1. Zuhud iaitu tidak mengutamakan kebendaan sebaliknya mengajar kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.

2. Kebersihan guru dari aspek tubuh badan dan jiwa.

3. Ikhlas dalam pekerjaan.

4. Bersifat pemaaf pada murid dan menahan diri dari marah.

5. Seorang guru merupakan seorang bapa sebelum dia seorang guru. Dia harus menyayangi murid-muridnya seperti anak-anaknya sendiri.

6.Harus mengetahui tabiat murid dari aspek pembawaan, kebiasaan dan pemikiran.

7. Harus menguasai matapelajaran yang hendak disampaikan dan memperdalamkan pengetahuannya sehingga mampu memberikan yang terbaik.

petikan daripada buku " Panduan Mengajar Akidah Kepada Kanak-kanak"

Friday, November 28, 2008

TANGGUNGJAWAB SEORANG GURU....


Menurut Ima Al-Ghazali r.a terdapat beberapa tanggungjawab atau kewajipan yang perlu dipenuhi oleh seorang guru. Tanggungjawab tersebut merangkumi lapan perkara iaitu :

1. Guru perlu menaruh rasa kasih sayang terhadap murid dan melayan mereka seperti melayan anak sendiri.

2. Guru tidak mengharapkan balas jasa ataupun ucapan terima kasih, tetapi mengajar dengan tujuan untuk mencari keredaan Allah dan mendekatkan diri kepadaNya.

3. Guru hendaklah menyampaikan nasihat kepada murid pada tiap kesempatan bahkan gunakan setiap kesempatn untuk menasihati dan menunjuk ajar murid. Mereka hendaklah sentiasa dinasihati bahawa menuntut ilmu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

4. Guru hendaklah mencegah murid daripada sesuatu akhlak yang tidak baik dengan jalan halus dan bukan dengan cara mencela.

5. Guru yang mengajar suatu matapelajaran tertentu hendaklah jangan memperlekehkan matapelajaran yang lain. Dia hendaklah membuka peluang kepada murid mempelajari cabang ilmu baru.

6. Guru hendaklah berbicara dengan bahasa yang mudah dan dapat difahami dalam menyampaikan pelajaran. Guru perlu berbicara dengan mereka menurut kadar kemampuan akal murid.

7. Para guru juga hendaklah menyampaikan kepada murid yang lemah menurut kemampuan mereka dengan memilih pelajaran yang mudah dan jelas.

8. Para guru hendaklah mengamalkan ilmunya, dan amalan hendaklah bertepatan dengan apa yang diajar. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud " patutkah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri..."

Sunday, November 23, 2008

ADAB BELAJAR DAN MENUNTUT ILMU.


Allah Taala yang maha pengasih telah menjadikan ilmu sebagai penyuluh kehidupan manusia. Manusia yang ingin cemerlang di dunia dan di akhirat perlu menjadikan ilmu ini sebagai lampu dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Tanpanya, kita pasti gagal melihat dan melalui jalan yang benar. Sebagai seoarng pelajar dan pencari ilmu, kita perlulah menjaga adab-adab tertentu agar ilmu yang kita pelajari tersebut akan memberi manfaat kepada kita. Antara adab-adab tersebut ialah :

1. Sentiasa beristighfar, memohon keampunan kepada Allah setiap hari kerana dosa adalah kegelapan dan ilmu adalah cahaya. Cahaya tidak akan menembusi hati yang gelap. Jadi, jernihkanlah hati ini dengan perbanyakkan istighfar.

2. Berwudhuk dan merbersihkan diri, persekitaran dan pakaian.

3. Perbetulkan niat, belajar hanya kerana Allah, untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menghilangkan kejahilan di dalam diri yang mampu menghalang kita mendapat redha dan rahmat Allah.

4. Membaca surah Fatihah, selawat dan doa-doa penerang hati sebelum dan selepas belajar dan mengulangkaji.

5. Mendengar dan memberi sepenuh tumpuan kepada pengajaran guru. Apabila kita menunaikan hak mendengar, Allah memudahkan kepada kita 3 perkara iaitu :
a) Allah memudahkan ilmu masuk ke dalam hati kita.
b) Allah memudahkan kita memahami apa yang kita dengar.
c) Allah memudahkan kita bercakap tenteng ilmu tadi apabila diperlukan.

6. Selalu merujuk kepada guru.

7. Sentiasa bersifat sukakan ilmu dan rendah diri.

8. Memberi tunjuk ajar apabila diminta.

Saturday, November 15, 2008

TEKNIK MERANGSANG MOTIVASI PELAJAR

Banyak teknik yang dapat dipergunakan guru untuk meningkatkan motivasi murid dalam belajar. Guru hendaknya selalu ingat betapa pentingnya memberikan alasan-alasan kepada pelajar mengapa mereka harus belajar dengan sungguh-sungguh dan berusaha untuk berprestasi sebaik-baiknya. Guru juga perlu menjelaskan kepada pelajar-pelajar apa yang diharapkan dari mereka selama dan sesudah proses belajar berlangsung. Lebih jauh, guru perlu mengusahakan agar pelajar-pelajar mengetahui tujuan jangka pendek dari pelajaran yang sedang diikutinya. Ingatlah bahawa ada cara-cara yang berkesan dan ada pula cara-cara yang tidak berkesan dalam memberikan penghargaan untuk meningkatkan kegiatan belajar, sikap terhadap belajar dan sikap terhadap diri sendiri murid, tetapi jangan lupa bahawa untuk pelajar-pelajar tertentu mungkin dapat merosak motivasi belajar mereka. Oleh kerana itu, anda sebagai guru harus berhati-hati dalam melaksanakan ujian dan memberikan angka atau markah kepada pelajar.

Cubalah guru melakukan sesuatu yang menimbulkan kekaguman kepada pelajar untuk merangsang perasaan ingin tahunya. Memang baik sekali untuk menimbulkan minat belajar, jika sekali-sekala guru memberikan aktiviti dengan memperkenalkan sesuatu yang baru bagi para pelajar. Berilah pelajar-pelajar kesempatan untuk mendapatkan penghargaan. Jadikan jangka masa belajar awal (permulaan) menjadi lebih mudah bagi pelajar dan usahakan agar semua pelajar mendapat kesempatan untuk merasa sukses. Tingkatkan motivasi pelajar dengan merangsang perasaan ingin tahu dengan cara memperkenalkan contoh-contoh yang khas dalam menerapkan konsep-konsep dan prinsip-prinsip. Doronglah pelajar untuk mempergunakan pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman yang telah mereka pelajari dari bahan pelajaran sebelumnya untuk mempelajari bahan-bahan yang baru. Cubalah masukan unsur permainan dalam proses belajar untuk menarik minat dan memudahkan pemahaman pelajar terhadap bahan yang dipelajari. Doronglah pelajar anda untuk melaksanakan usaha-usaha penemuan atau berbagai percubaan (penyelidikan) untuk menemukan sesuatu yang belum pernah ada.

Guru haruslah berusaha untuk sedapat mungkin mengurangi persaingan di antara pelajar-pelajar dalam meningkatkan motivasi untuk mencapai prestasi akademik. Jauhilah perkara-perkara atau kejadian-kejadian yang dapat menimbulkan keengganan murid untuk belajar, sama ada yang merupakan ketidak-selesaan secara fizikal mahupun yang menyebabkan hilangnya harga diri pelajar. Jangan ada keinginan guru untuk menghukum pelajar dengan maksud agar pelajar akan belajar, tetapi sebaliknya berilah mereka penghargaan. Terakhir yang patut diperhatikan oleh guru dalam meningkatkan motivasi pelajar adalah bahawa guru hendaknya peka terhadap suasana atau iklim sosial sekolah dan benar-benar memahami bagaimana pengaruh iklim sosial itu terhadap nilai-nilai yang dipegang oleh para pelajar.

Guru hendaklah berhati-hati terhadap apa yang sedang berlangsung di dalam kelasnya dan mencuba merasakan apabila mengajar sesuatu topik dengan cara tertentu. Buatlah kumpulan pengalaman mengajar anda untuk dijadikan cermin dalam mengadakan perbaikan-perbaikan. Janganlah takut melakukan berbagai percubaan untuk menemukan cara yang terbaik dalam mengajar. Oleh kerana itu anda harus yakin akan pentingnya belajar melalui pengalaman. Jika suatu cara yang anda lakukan berjalan lancar, lakukan lagi; tetapi jika cara itu tidak atau sedikit sekali memotivasi murid dalam belajar, tinggalkan cara itu. Mengajar adalah suatu proses yang menuntut perbaikan secara cermat dan terus menerus.

WAHAI PELAJAR-PELAJARKU...



Pelajar-pelajarku sayang,
Ingatlah,
Perjuangan dalam menuntut ilmu tiada kesudahan selagi mata masih melihat, telinga masih mendengar, mulut masih berbicara dan nafas masih beralun.
Perjuangan dalam menuntut ilmu penuh dengan ranjau dan duri, luka dan sakit pasti dirasai. Hanya kesabaran dan keyakinan yang tinggi mampu menjadikan dirimu kuat dan tabah dalam meneruskan perjuangan ini.
Pelajar-pelajarku,
Setiap ilmu itu mulia, namun jika ilmu itu tidak dapat membawa dirimu kepada Allah, maka ilmu itu bukanlah ilmu yang manfaat buat dirimu. Apatahlagi jika ilmu itu menjadi fitnah kepadamu dan membuatkan dirimu memakai pakaian takabbur, maka hendaklah engkau jauhinya.
Apa jua yang hendak engkau lakukan, letaklah Allah dihadapanmu sebagai matlamat, penolong dan sebagai pemerhati segala tindakanmu. Insya Allah dirimu akan selamat dan jauh dari kesesatan.
Pelajar-pelajarku...
Tiada cara hidup yang terbaik melainkan cara islam. Tetapkanlah dirimu dalam islam. Hiduplah di bumi ini mengikut acuan Al-Quran dan hadis.Nescaya engkau akan perolehi 2 kejayaan iaitu kejayaan dunia dan kejayaan akhirat.
INGATLAH PESANANKU INI WAHAI PELAJAR-PELAJARKU SAYANG.....

Thursday, November 13, 2008

KEPUTUSAN UPSR & PENYERAHAN SAGUHATI KEPADA PELAJAR YANG BERJAYA DI DALAM UPSR 2008



Hari ini hari bersejarah bagi pelajar-pelajar tahun 6. Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) telah dikeluarkan. Bagi SADR, seramai 17 orang pelajar mendapat keputusan 5 A. Tahniah kami ucapkan kepada para pelajar SADR. SEMOGA KEJAYAAN SENTIASA MENGIRINGI KALIAN SEMUA.

JAMUAN MAJLIS PERPISAHAN PERINGKAT SEKOLAH 2008



Kelmarin ( 12.11.2008 ) warga SADR telah mengadakan jamuan perpisahan peringkat sekolah. Semua kelas telah terlibat mengadakan jamuan tersebut. Pelbagai jenis makanan dihidangkan dalam jamuan tersebut. Jamuan tersebut berlangsung hingga pukul 10.50 pagi. Selepas itu pelajar-pelajar telah dibahagikan kelas mengikut keputusan peperiksaan akhir tahun.

Saturday, November 8, 2008

HARI GRADUANSI PELAJAR-PELAJAR TAHUN ENAM 2008

Esok ( 10 November 2008 ) SK Seri Amar Diraja akan mengadakan Majlis Graduansi untuk pelajar-pelajar tahun enam tahun 2008. Majlis ini akan diadakan di dewan SK Seri Amar Diraja. Majlis ini akan disempurnakan oleh Cikgu Rosli Hamid, penolong kanan kurikulum SK Seri Amar Diraja.

Friday, November 7, 2008

KEM BINA JUARA 2008

Kelmarin ( 6 November 2008 ) bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Uda, telah diadakan Kem Bina Juara bagi tilawah al-quran peringkat ppd Kota Star. SK Seri Amar Diraja telah menghantar 2 orang murid sebagai wakil di dalam kem tersebut. Murid lelaki diwakili oleh Aiman Syakirin dari tahun 3 semangat dan murid perempuan pula diwakili oleh Farra Qaleeda dari tahun 4 semangat. Di dalam kem tersebut mereka didedahkan dengan ilmu tentang Al-Quran khususnya dalam bidang tarannum dan tajwid. Diharap pelajar-pelajar ini dapat menguasai ilmu-ilmu tersebut dengan sebaiknya dan dapat mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah Al-Quran sama ada untuk MKQ atau MTQ yang akan diadakan tahun depan.

Monday, October 27, 2008

Solat anugerah Pencipta kepada hamba=hambaNya.

Ibadah solat merupakan rukun Islam yang kedua. Walaupun Allah Taala mewajibkan setiap umat islam menunaikan solat fardhu sebanyak lima waktu sehari semalam, tetapi sebenarnya terkandung di dalam perintah tersebut satu anugerah yang begitu tinggi nilainya. Anugerah tersebut sebagai bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.
Ibadah solat ini bukan sahaja dapat meningkatkan kekuatan rohani seorang hamba, bahkan mampu meningkatkan kekuatan emosi, jasmani dan intelek seorang manusia. Dari kajian-kajian yang telah dijalankan sejak akhir-akhir ini terbukti IQ seseorang meningkat dengan melakukan perbuatan rukuk dan sujud.

Sunday, October 19, 2008

Di ambang peperiksaan

Peperiksaan akhir tahun bagi pelajar-pelajar tahun 1 hingga 5 akan diadakan pada 28 Oktober 2008. Kami semua mendoakan dan mengharapkan semoga pelajar-pelajar telah bersedia sebaik-baiknya dari sudut mental dan emosi untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang. kami juga mendoakan semoga matlamat yang diletakkan oleh sekolah akan dapat dicapai. SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN.

Friday, October 17, 2008

JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2008



Pada 9 Oktober yang lalu warga-warga SADR telah mengadakan satu sambutam hari raya aidilfitri peringkat sekolah. Sambutan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama warga SADR. Pelbagai juadah telah disediakan. Di antaranya ketupat, rendang, laksa, mi kari, laksam dan pelbagai lagi makanan tradisional. Sambutan ini diserikan lagi dengan persembahan daripada murid-murid dan guru-guru SADR.

Ahlan ya habibi

Ahlan Wasahlan ke blog kami