Thursday, January 1, 2009

SESI PERSEKOLAHAN 2009 AKAN BERMULA


Para guru dan pelajar sekelian,
Tarikh 4 Januari semakin hampir bertemu dengan kita. Tidak lama lagi kita akan kembali memulakan tugas. Buat para guru, semoga tahun ini kita akan lebih proaktif dan komited dengan tugas dan tanggungjawab yang telah dipikulkan ke atas bahu kita. Bagi para pelajar pula, semoga lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi dalam menimba ilmu-ilmu di sekolah. Marilah sama-sama kita jadikan tahun 2009 ini sebagai tahun permulaan kecemerlangan kita sekiranya kita masih lagi belum mencapai kecemerlangan pada tahun-tahun yang lalu. Dan sekiranya kita sudah mengecapi kecemerlangan pada tahun-tahun yang lalu, semoga tahun ini kita akan lebih cemerlang dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan pada tahun-tahun berikutnya.
Guru-guru dan pelajar-pelajar,
Syarat utama dalam mencapai kejayaan ialah keikhlasan yang terbina di dalam diri kita. Dengan wujudnya keikhlasan tersebut, kita akan lebih bertenaga dalam melaksanakan amanah yang diberi. Para ulamak pernah menyebut kekuatan keikhlasan ini mampu menumpaskan 100 orang musuh. Sebab itu Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita bahawa setiap perkara itu bermula dengan niat. Niatlah akan memandu sama ada kita akan berjaya atau tidak dalam semua perbuatan dan amalan kita. Walau apapun yang kita lakukan, letaklah Allah sebagai maksud kita dan keredhoanNya sebagai matlamat dan tuntutan kita. Seperti mana terkandung di dalam munajat kaum sufi,' Tuhanku, hanya Engkaulah maksudku, redho Engkaulah tuntutan ku, berikanlah daku kecintaan dan makrifat yang sempurna kepada Mu.'
Para guru dan pelajar-pelajar,
Bersempena hadirnya tahun baru ini, ,marilah kita bersama-sama tajdidkan niat dan jihad kita, agar apa yang kita impikan akan hadir di dalam hidup kita. Renungilah sabda Saidina Rasulallah SAW yang bermaksud 'tidak ada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, tetapi yang ada adalah niat dan jihad'

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2009 DAN 1430....

No comments: