Monday, November 30, 2009
KEANEHAN MANUSIA...
Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pencipta sekelian alam. Selawat dan salam khas buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.
Kali ini saya ingin membawa para pembaca merenung dan memikirkan beberapa keanehan yang terdapat pada manusia, moga-moga kita dapat mengambil iktibar dan dijauhkan daripada keanehan-keanehan tersebut.
Keanehan pertama:
Ramai manusia akan berasa sudah terlewat apabila waktu mula bekerja pada jam 8 pagi tetapi mereka sampai ke tempat kerja pukul 8.05 pagi. Mereka mungkin akan menyalahkan kesesakan lalu lintas tang terpaksa ditempuhi. Besoknya mereka akan bertolak lebih awal untuk memastikan mereka tidak terlambat lagi. Namun begitu lain pula keadaannya pada waktu solat. Apabila waktu solat dah masuk dan mereka tiada apa-apa perkara mustahak yang hendak dibuat pada waktu itu lebih selesa melambat-lambatkan solat hingga waktu hendak berakhir. Mereka berasa masih belum terlambat dan tiada berhutang apa-apa dengan tuan punya waktu.
Keanehan kedua:
Ramai manusia terharu melihat anak-anak kecil didera ibu bapa sendiri atau orang lain. Hati mereka tersentuh dan mengutuk orang yang melakukan kekejaman itu. Tetapi mereka tidak merasa apa-apa setelah membiarkan anak-anak tidak bersolat atau membiarkan anak-anak gadis mereka bebas mendedahkan aurat sewaktu keluar dari rumah. Padahal anak-anak tersebut bakal menerima seksaan yang amat pedih di akhirat kelak jika masih berkelakuan seperti itu. Ibu bapa seolah-olah merelakan anak mereka disiksa di dalam neraka. Bahkan ibu bapa juga akan turut dipertanggungjawabkan dihadapan Allah tentang tanggungjawab mereka.
Ini di antara keanehan manusia yang sering berlaku di dalam masyarakat kita. Sebagai orang islam, kita perlu utamakan Allah dan Rasul di dalam hidup kita. Insya Allah, kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Marilah kita banyakkan membaca kisah para sahabat dan ulamak-ulamak terdahulu serta menyelusuri jalan-jalan mereka kerana mereka telah diiktiraf Allah sebagai golongan yang berjaya di dalam surah al-fatihah dan al-waqiah.
Wednesday, November 25, 2009
PENGHALANG-PENGHALANG KEJAYAAN...
Assalamualaikum,
Segala puji-pujian yang hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam buat rasul tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...
Para pelajar yang disayangi sekelian,
Semua orang di dunia ini impikan kejayaan di dalam hidup mereka. Jika diberi pilihan sama ada kegagalan atau kejayaan, pasti kejayaan yang menjadi pilihan. Tiada siapa yang inginkan kegagalan di dalam hidup mereka. Tetapi tanpa kita sedar, kadang-kadang kita melakukan perkara-perkara yang boleh membawa diri kita ke arah kegagalan. Bagi memelihara diri kita terjatuh ke dalam lubuk kegagalan, kita perlu mengkaji langkah-langkah untuk menuju kejayaan. Selain daripada itu, kita juga harus mengkaji duri-duri yang menghalang perjalanan kita untuk mencapai kejayaan. Mengkaji faktor-faktor penghalang ini sama pentingnya dengan mengkaji langkah-langkah kejayaan. Kerana setelah mengetahui punca penyakit, barulah kita boleh mencari ubat yang sesuai dengan penyakit tersebut.
Di antara faktor-faktor penghalang kejayaan tersebut ialah:
1. Malas.
2. Tidak bermotivasi.
3. Tiada kehendak dan komitmen yang tinggi.
4. Tiada kemahiran belajar.
5. Mengabaikan perintah dan larangan Allah.
6. Berfikiran negatif.
7. Berimej negatif.
8. Tiada persediaan awal.
9. Terpengaruh dengan persekitaran.
10. Suka bertangguh.
11. Tidak belajar daripada kesilapan lalu.
12. Membuang masa.
13. Tidak berdisiplin.
14. Tiada keyakinan diri.
Monday, November 23, 2009
SIFAT PELAJAR CEMERLANG...
Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam khas untuk baginda rasulullah, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...
Cuti-cuti sebegini, agak bosan sekiranya tidak ada apa-apa aktiviti yang hendak dibuat. Bagi mengisi masa lapang agar tidak terlalu bosan, saya membaca sebuah buku yang saya baru beli daripada seorang sahabat. Buku tersebut bertajuk ' Catatan Hati Nik Nur Madihah'. Helaian demi helaian saya baca dan saya renung. Banyak perkara yang menyentuh hati saya. Tak sangka seorang gadis yang dilahirkan dari sebuah keluarga yang kurang berada memiliki hati yang begitu waja. Dengan hati yang sehebat itu, akhirnya beliau mampu memperolehi kejayaan yang begitu cemerlang, 20 A didalam peperiksaan SPM.
Di sini saya nak berkongsi dengan para pembaca sekelian antara ciri-ciri pelajar cemerlang yang dinyatakan oleh srikandi ini di dalam buku ini. Moga-moga nasihat ini dapat melahirkan insan cemerlang seperti beliau.
1. Niatkan menuntut ilmu kerana Allah, bukan kerana peperiksaan.
2. Menanam rasa cinta terhadap ilmu pengetahuan.
3. Banyakkan bertanya guru di dalam kelas.
4. Memberikan sepenuh perhatian sewaktu belajar.
5. Bersedia dengan pembacaan sebelum guru mengajar.
6. Menggunakan kaedah pembacaan yang efisien iaitu membaca, faham, menghafal dan menulis kembali isi pembacaan.
7. Mengadakan perbincangan dengan teman-teman.
8. Banyakkan berfikir dan melatih otak.
9. Tidak mencampuradukkan masalah peribadi dengan pelajaran.
10. Membuat latihan persediaan lebih awal sebelum ujian dan peperiksaan.
11. Membaca buku-buku rujukan tambahan selain buku teks.
12. Membuat nota kecil.
13. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara negatif ketika belajar.
Saturday, November 21, 2009
KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM ( 2 )...
Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia...Selawat dan salam buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahl baginda serta para sahabat baginda...
Anak-anak pelajar sayang,
Bukan niat di hati untuk menghalang atau menegah anak-anak sekelian berjaya di dalam peperiksaan. Bahkan hati ini akan berasa begitu gembira sekiranya anak-anak semua berjaya menjadi pelajar yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Tapi apa yang perlu anak-anak semua tahu, tiada makna apa-apa gred A di sisi Allah sekiranya perintahNya kita ingkari dan larangannya kita lakukan. Bagaimana kita dapat tahu ini adalah perintah Allah dan ini adalah laranganNya jika kita hanya memandang sebelah mata pada ilmu Pendidikan Islam. Kita tidak diajar tentang iman dan islam secara mendalam di dalam subjek matematik. Kita juga tidak diajar tentang cara bersolat di dalam subjek sains. Semua ilmu-ilmu tersebut kita hanya dapati di dalam subjek pendidikan islam. Jadi mengapa ilmu yang kita wajib amalkan di dalam hidup kita ini kita perlu abaikan semata-mata hanya kerana periksa yang sementara?
Anak-anak sayang.
Apa yang penting bagi kita untuk berjaya menjadi pelajar yang cemerlang ialah kita perlu seimbang. Dan kita perlu adil terhadap semua ilmu yang kita pelajari di sekolah. Semua ilmu ada manfaatnya yang tersendiri. Yang paling penting, semua ilmu adalah milik Allah. Allah memuji segolong manusia di dalam Al-quran yang bermaksud :" Dan sebahagian daripada mereka telah berkata, Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab api neraka." ( surah Al-Baqarah, 201 ) Melalui ayat ini Allah memberitahu kita betapa pentingnya kita menyeimbangi kehidupan kita di dunia dan di Akhirat. Kehidupan kita tidak terhenti di dunia sahaja, tetapi akan bersambung di Akhirat nanti dan itulah kehidupan yang kekal abadi. Bagaimanakah nasib kita jika kita sengsara di Akhirat nanti?
Anak-anak didik sayang,
Ilmu pendidikan Islam bukanlah dipelajari hanya sekadar untuk dimuntahkan di atas kertas periksa semata-mata. Ia adalah ilmu yang perlu dipelajari, dihayati dan diamalkan di dalam kehidupan kita sehari-hari. Tidak ada makna jika kita dapat markah 100 di dalam subjek pendidikan islam, tetapi kita tidak pernah solat. Ataupun kita bersolat hanya pada waktu-waktu yang kita suka sahaja, tidak cukup 5 waktu sepertimana yang telah diwajibkan ke atas kita. Begitu juga kita boleh memberitahu adab-adab makan apabila ditanya, tetapi kita tidak menjaga adab-adab tersebut ketika menjamu selera. Amat rugilah kita jika begitu persepsi kita terhadap pendidikan Islam.
KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM...
Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan yang telah mencipta manusia daripada segumpal darah...Selawat dan salam khas buat Nabi tersayang, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...
Suatu hari sewaktu saya berada di dalam sebuah kelas tahun lima, saya telah diminta oleh pelajar-pelajar agar tidak mengadakan kelas tasmik untuk mereka pada tahun depan. Saya bertanyakan mereka mengapa mereka tidak mahu kelas tasmik tahun depan. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah kerana tahun depan ada kelas tambahan. Saya agak terkejut, kecewa dan sedih dengan permintaan tersebut. Terlintas di benak fikiran saya, apakah persepsi mereka sebenarnya terhadap subjek pendidikan Islam? Mengapakah mereka lebih mementingkan kelas tambahan daripada kelas Al-Quran?
Saya tidak menyalahkan mereka di dalam hal sebegini. Mungkin mereka belum tahu dan belum jelas tentang peranan dan kepentingan ilmu pendidikan Islam. Jadi sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik untuk memberitahu dan memahamkan mereka agar mereka tidak salah dalam mentafsirkan kedudukan subjek pendidikan Islam ini. Saya harap apa yang diluahkan di dalam blog ini sedikit sebanyak dapat membuka minda pelajar-pelajar SADR khasnya dan pelajar-pelajar lain amnya terhadap subjek pendidikan Islam.
Pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian,
Subjek pendidikan Islam bukanlah subjek yang dimasukkan ke dalam KBSR disebabkan agama rasmi negara ini agama Islam. Ia juga bukannya subjek yang dimasukkan hanya untuk lulus di dalam peperiksaan dan menambahkan kuantiti A semata-mata. Subjek ini diajar bertujuan membentuk dan membina kekuatan rohani dan sahsiah para pelajar. Sebab itu komponen-komponennya terdiri daripada Al-Quran, ilmu akidah, ilmu ibadah, sirah dan ilmu akhlak. Ilmu-ilmu inilah penjana kekuatan rohani dan akhlak kita. Tanpa kekuatan rohani dan sahsiah yang baik, seseorang itu takkan mungkin dapat mengecapi kejayaan yang hakiki. Kejayaan yang perlu dikecapi oleh setiap insan bukan sekadar kejayaan di dalam akademik sahaja, tetapi yang paling penting ialah kejayaan di dalam hidup ketika berada di alam dunia, kejayaan ketika berada di alam kubur dan kejayaan ketika berada di alam Akhirat.Itulah kejayaan hakiki bagi setiap insan.
Anak-anak pelajar sekelian,
Tiada makna kita cemerlang di dalam akademik tetapi hidup kita di dunia ini tidak bahagia dan semakin jauh dari redha Allah. Begitu juga, tiada maknanya kita mendapat akademik yang terbaik tetapi di dalam kubur kita menderita. Bahkan lebih dahsyat lagi kecemerlangan akademik tersebut menjadi beban kepada kita ketika berada di dalam kubur dan di hari Akhirat nanti. Semua itu boleh berlaku sekiranya kita mengenepikan ilmu-ilmu Islam dan gagal menghayatinya serta beramal dengannya sebaik-baiknya di dalam hidup kita.
Thursday, November 19, 2009
KEJAYAAN ANAK-ANAK
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam kepada Nabi yang menjadi rahmat kepada seluruh alam, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda....
Hari ni merupakan detik bersejarah bagi pelajar-pelajar tahun enam seluruh Malaysia...Hari ini di serata sekolah rendah,kita dapat melihat tangisan gembira dan kecewa anak-anak ini...Hari ini juga telah membuktikan kepada mereka, adakah impian dan matlamat mereka tercapai atau tidak...Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan...Jadilah kejayaan pada hari ini sebagai langkah pertama untuk adik-adik mencipta kejayaan pada masa-masa yang akan datang...Kepada yang kurang berjaya, hari ini bukan hari terakhir dalam hidup anda...bersabar dan redhalah dengan keputusan yang diperolehi...jadikanlah natijah hari ini sebagai guru terbaik untuk adik-adik mencipta kejayaan pada hari-hari yang akan datang...Mungkin hari ini belum sampai rezeki adik-adik...Yakin dan percayalah, rezeki kejayaan adik-adik pasti akan tiba suatu hari nanti...Cuma apa yang perlu adik-adik semua lakukan ialah, lakukanlah perubahan terhadap diri adik-adik...Tahun baru pun dah hampir tiba...tanamkanlah azam dan tekad yang baru...belajarlah dari kesilapan yang ada...Insya Allah, adik-adik pasti berjaya...
Tahniah buat pelajar-pelajar SKSADR yang mendapat 5 A...Tahun ni seramai 16 orang pelajar SKSADR mendapat 5 A...Tahniah sekali lagi diucapkan...
Hari ni merupakan detik bersejarah bagi pelajar-pelajar tahun enam seluruh Malaysia...Hari ini di serata sekolah rendah,kita dapat melihat tangisan gembira dan kecewa anak-anak ini...Hari ini juga telah membuktikan kepada mereka, adakah impian dan matlamat mereka tercapai atau tidak...Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan...Jadilah kejayaan pada hari ini sebagai langkah pertama untuk adik-adik mencipta kejayaan pada masa-masa yang akan datang...Kepada yang kurang berjaya, hari ini bukan hari terakhir dalam hidup anda...bersabar dan redhalah dengan keputusan yang diperolehi...jadikanlah natijah hari ini sebagai guru terbaik untuk adik-adik mencipta kejayaan pada hari-hari yang akan datang...Mungkin hari ini belum sampai rezeki adik-adik...Yakin dan percayalah, rezeki kejayaan adik-adik pasti akan tiba suatu hari nanti...Cuma apa yang perlu adik-adik semua lakukan ialah, lakukanlah perubahan terhadap diri adik-adik...Tahun baru pun dah hampir tiba...tanamkanlah azam dan tekad yang baru...belajarlah dari kesilapan yang ada...Insya Allah, adik-adik pasti berjaya...
Tahniah buat pelajar-pelajar SKSADR yang mendapat 5 A...Tahun ni seramai 16 orang pelajar SKSADR mendapat 5 A...Tahniah sekali lagi diucapkan...
Wednesday, November 18, 2009
SELAMAT BERCUTI!
Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, pentadbir alam semesta...Selawat dan salam buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...
Bahang cuti sekolah semakin terasa...Esok sehari lagi kita akan bersekolah dan selepas itu kita akan bercuti selama sebulan....Sedar atau tidak kita dah hampir ke penghujung tahun 2009...Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun baru...Bagaimana azam kita tahun ini? berapa peratus yang tercapai? Adakah masih ada azam yang belum tertunai...
Buat pelajar-pelajar yang menduduki STPM dan SPM, selamat menduduki peperiksaan saya ucapkan...semoga kalian diberi kemudahan oleh Allah dam menghadapi peperiksaan...
Buat pelajar-pelajar yang akan bercuti, rancanglah cuti anda dengan sebaiknya...manfaatkanlah masa cuti yang ada dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang mampu merubah diri anda menjadi lebih baik dari kelmarin, dan hari esok lebih baik dari hari ini...
SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!
Thursday, November 12, 2009
BERTEMU KEMBALI...
Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam buat kekasih yang dirindui, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...
Terlebih dahulu saya pohonkan kemaafan khususnya buat pelajar-pelajar saya yang setia bersama blog ini, sebab dah agak lama tak mengemaskini blog ni...Sebenarnya tahun ni agak sibuk sikit sebab saya kembali menjadi pelajar setelah sekian lama meninggalkan alam mengaji secara formal ni...Bukan apa, sekadar nak tambah ilmu dalam bahasa Al-Quran...Cemburu juga tengok kawan-kawan terutamanya yang jadi JU boleh bercakap arab dengan fasih...Harap-harap bolehlah tahu sedikit sebanyak rahsia bahasa yang diiktiraf oleh Allah ni...
Bila dah jadi pelajar ni, saya rasa sedikit sebanyak saya dapat selami perasaan pelajar-pelajar saya...Bagaimana harapan kita pada guru kita, begitulah harapan mereka pada kita....Bezanya mereka mungkin tak dapat nak menzahirkan harapan ini seperti kita...Namun, harapan mereka tetap tinggi setinggi harapan kita....Lalu, wajarkah harapan kanak- kanak yang suci ini kita hancurkan dengan sikap kurang ambil berat kita....Perlukah kita hancurkannya dengan hanya sedikit pengorbanan yang diminta kepada kita? Hanya kita yang mampu menjawabnya...Biarpun kita tidak menjawabnya, Allah tetap tahu apa yang tersirat di dalam hati kecil kita...
Sahabat-sahabat pendidik sekelian,
Cuba renungi mata-mata jernih anak didik kita...pasti kita dapat mengerti betapa besarnya harapan mereka kepada kita...Kepada kitalah disandarkan masa depan mereka...Jangan sampai suatu hari nanti mereka meludah batu nisan kita disebabkan kegagalan kita dalam mendidik mereka menjadi insan berguna...
Subscribe to:
Posts (Atom)