Saturday, November 21, 2009

KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM ( 2 )...



Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia...Selawat dan salam buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahl baginda serta para sahabat baginda...

Anak-anak pelajar sayang,
Bukan niat di hati untuk menghalang atau menegah anak-anak sekelian berjaya di dalam peperiksaan. Bahkan hati ini akan berasa begitu gembira sekiranya anak-anak semua berjaya menjadi pelajar yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Tapi apa yang perlu anak-anak semua tahu, tiada makna apa-apa gred A di sisi Allah sekiranya perintahNya kita ingkari dan larangannya kita lakukan. Bagaimana kita dapat tahu ini adalah perintah Allah dan ini adalah laranganNya jika kita hanya memandang sebelah mata pada ilmu Pendidikan Islam. Kita tidak diajar tentang iman dan islam secara mendalam di dalam subjek matematik. Kita juga tidak diajar tentang cara bersolat di dalam subjek sains. Semua ilmu-ilmu tersebut kita hanya dapati di dalam subjek pendidikan islam. Jadi mengapa ilmu yang kita wajib amalkan di dalam hidup kita ini kita perlu abaikan semata-mata hanya kerana periksa yang sementara?

Anak-anak sayang.
Apa yang penting bagi kita untuk berjaya menjadi pelajar yang cemerlang ialah kita perlu seimbang. Dan kita perlu adil terhadap semua ilmu yang kita pelajari di sekolah. Semua ilmu ada manfaatnya yang tersendiri. Yang paling penting, semua ilmu adalah milik Allah. Allah memuji segolong manusia di dalam Al-quran yang bermaksud :" Dan sebahagian daripada mereka telah berkata, Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab api neraka." ( surah Al-Baqarah, 201 ) Melalui ayat ini Allah memberitahu kita betapa pentingnya kita menyeimbangi kehidupan kita di dunia dan di Akhirat. Kehidupan kita tidak terhenti di dunia sahaja, tetapi akan bersambung di Akhirat nanti dan itulah kehidupan yang kekal abadi. Bagaimanakah nasib kita jika kita sengsara di Akhirat nanti?

Anak-anak didik sayang,
Ilmu pendidikan Islam bukanlah dipelajari hanya sekadar untuk dimuntahkan di atas kertas periksa semata-mata. Ia adalah ilmu yang perlu dipelajari, dihayati dan diamalkan di dalam kehidupan kita sehari-hari. Tidak ada makna jika kita dapat markah 100 di dalam subjek pendidikan islam, tetapi kita tidak pernah solat. Ataupun kita bersolat hanya pada waktu-waktu yang kita suka sahaja, tidak cukup 5 waktu sepertimana yang telah diwajibkan ke atas kita. Begitu juga kita boleh memberitahu adab-adab makan apabila ditanya, tetapi kita tidak menjaga adab-adab tersebut ketika menjamu selera. Amat rugilah kita jika begitu persepsi kita terhadap pendidikan Islam.

No comments: