Saturday, November 21, 2009

KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM...


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan yang telah mencipta manusia daripada segumpal darah...Selawat dan salam khas buat Nabi tersayang, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...

Suatu hari sewaktu saya berada di dalam sebuah kelas tahun lima, saya telah diminta oleh pelajar-pelajar agar tidak mengadakan kelas tasmik untuk mereka pada tahun depan. Saya bertanyakan mereka mengapa mereka tidak mahu kelas tasmik tahun depan. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah kerana tahun depan ada kelas tambahan. Saya agak terkejut, kecewa dan sedih dengan permintaan tersebut. Terlintas di benak fikiran saya, apakah persepsi mereka sebenarnya terhadap subjek pendidikan Islam? Mengapakah mereka lebih mementingkan kelas tambahan daripada kelas Al-Quran?

Saya tidak menyalahkan mereka di dalam hal sebegini. Mungkin mereka belum tahu dan belum jelas tentang peranan dan kepentingan ilmu pendidikan Islam. Jadi sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik untuk memberitahu dan memahamkan mereka agar mereka tidak salah dalam mentafsirkan kedudukan subjek pendidikan Islam ini. Saya harap apa yang diluahkan di dalam blog ini sedikit sebanyak dapat membuka minda pelajar-pelajar SADR khasnya dan pelajar-pelajar lain amnya terhadap subjek pendidikan Islam.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian,
Subjek pendidikan Islam bukanlah subjek yang dimasukkan ke dalam KBSR disebabkan agama rasmi negara ini agama Islam. Ia juga bukannya subjek yang dimasukkan hanya untuk lulus di dalam peperiksaan dan menambahkan kuantiti A semata-mata. Subjek ini diajar bertujuan membentuk dan membina kekuatan rohani dan sahsiah para pelajar. Sebab itu komponen-komponennya terdiri daripada Al-Quran, ilmu akidah, ilmu ibadah, sirah dan ilmu akhlak. Ilmu-ilmu inilah penjana kekuatan rohani dan akhlak kita. Tanpa kekuatan rohani dan sahsiah yang baik, seseorang itu takkan mungkin dapat mengecapi kejayaan yang hakiki. Kejayaan yang perlu dikecapi oleh setiap insan bukan sekadar kejayaan di dalam akademik sahaja, tetapi yang paling penting ialah kejayaan di dalam hidup ketika berada di alam dunia, kejayaan ketika berada di alam kubur dan kejayaan ketika berada di alam Akhirat.Itulah kejayaan hakiki bagi setiap insan.

Anak-anak pelajar sekelian,
Tiada makna kita cemerlang di dalam akademik tetapi hidup kita di dunia ini tidak bahagia dan semakin jauh dari redha Allah. Begitu juga, tiada maknanya kita mendapat akademik yang terbaik tetapi di dalam kubur kita menderita. Bahkan lebih dahsyat lagi kecemerlangan akademik tersebut menjadi beban kepada kita ketika berada di dalam kubur dan di hari Akhirat nanti. Semua itu boleh berlaku sekiranya kita mengenepikan ilmu-ilmu Islam dan gagal menghayatinya serta beramal dengannya sebaik-baiknya di dalam hidup kita.

1 comment:

nada said...

ustaz , i know how it fills . but i think i know why this students want it like that . And now i know about agama islam even deeper . in form one , the lesson is very detail . each thing that we do , what we said is count . and for me , i love agama islam even more , thanks for this articile ! makes me open my eyes