Friday, December 25, 2009

KEMAHIRAN BELAJAR


Assalamualaikum,

Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah Taala, pentadbi sekelian alam. Selawat dan salam untuk rasul junjungan tercinta Saiyidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat baginda.

Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR yang lalu. Itulah hadiah berkat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi yang pelajar-pelajar sekelian telah lakukan.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian,

Setiap sesuatu yang ingin kita lakukan di dunia ini akan menjadi mudah sekiranya kita benar-benar mahir tentang perkara tersebut. Untuk menjadi seorang yang mahir, kita perlulah belajar dan membina kemahiran tersebut di dalam diri kita. Apabila kita mahir, setiap perkara yang susah akan menjadi mudah bagi kita. Begitu juga dengan belajar. Belajar dengan seorang pelajar memang tidak dapat dipisahkan. Kadang-kadang kita pernah mendengar kata-kata negatif tentang belajar ini. Belajar tak seronok, memboringkan dan banyak lagi. Mungkin kata-kata ini kita dengar keluar dari mulut teman-teman kita. Tak mustahil juga mungkin keluar dari mulut kita sendiri. Mengapa kata-kata seperti itu terbit dari mulut seorang pelajar?

Jawapannya, kerana ramai pelajar yang belajar tanpa kemahiran yang betul. Kemahiran belajar yang betul perlu dikuasai dahulu oleh para pelajar bagi membolehkan mereka menerima ilmu sebaik mungkin. Dengan kemahiran belajar yang mantap, para pelajar pasti mampu menguasai setiap pelajaran yang dipelajarinya. Oleh itu, kuasailah kemahiran belajar ini sebaik-baiknya. Insya Allah, pelajar-pelajar sekelian pasti akan dapat mengecapi kejayaan seperti sahabat-sahabat kita yang telah berjaya.

Kemahiran belajar ini boleh diperolehi dengan cara menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh beberapa syarikat motivasi seperti MAP dan EXCEL TRAINING. Mungkin ada yang mengatakan kursus-kursus seperti ini agak mahal dan tak mampu untuk mengikutinya. Ada cara yang lebih murah untuk mendapatkan kemahiran belajar tersebut. Caranya adalah dengan membeli buku-buku kemahiran tersebut di kedai-kedai buku. Di negara kita Alhamdulillah, terdapat banyak buku-buku kemahiran belajar yang telah ditulis di dalam bahasa melayu. Pelajar-pelajar boleh memilihnya mengikut citarasa pelajar-pelajar sendiri.

Friday, December 11, 2009

TUHANKU....



Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu
Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu
Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti
Oh Tuhanku
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendambakan cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu
Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau padaku
Tuhan
Diri ini tidak layak ke syurgaMu
Namun tidak pula aku sanggup ke nerakaMu
Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Mogaku kan selamat
Di dunia dan Akhirat
Seperti rasul dan sahabat.

Friday, December 4, 2009

PEMBANGUNAN DIRI KE ARAH KECEMERLANGAN DIRI...


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam buat rasul junjungan yang tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta sahabat-sahabat baginda...

Petang kelmarin ketika berehat sekejap selepas habis membaca buku nahu arab, saya membuka majalah solusi isu 14 yang baru dibeli. Isu yang dipaparkan pada keluaran kali ini bagi saya amat menarik. Ketika membelek satu persatu aktikel di dalam majalah tersebut, pandangan saya terhenti pada artikel yang ditulis oleh Tuan Haji Muhamad Zakaria yang bertajuk ' Sifat Orang Cemerlang'. Kata beliau, untuk menjadi cemerlang anda harus membangunkan diri terlebih dahulu. Tenaga untuk membangunkan diri harus datang dari dalam diri, bukan daripada orang lain.

Di sini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekelian kaedah-kaedah yang ditulis beliau bagi membangunkan diri kita agar menjadi insan cemerlang:

1. Keyakikinan yang tinggi kepada Allah.

2. Disiplin yang mantap.

3. Ada motivasi dan inisiatif diri yang kuat.

4. Meningkatkan pelbagai kemahiran.

5. Sentiasa muhasabah diri.

Inilah di antara kaedah-kaedah untuk membangunkan diri kita agar tergolong di dalam insan cemerlang. Untuk menjadi cemerlang, satu soalan yang penting perlu kita tanya pada diri kita ialah ' Nak ke tak nak?' Kerana kehendak yang kuat akan mendorong kita melakukannya. Akhirnya, renungilah firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.

wassalam.

Monday, November 30, 2009

KEANEHAN MANUSIA...


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pencipta sekelian alam. Selawat dan salam khas buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.

Kali ini saya ingin membawa para pembaca merenung dan memikirkan beberapa keanehan yang terdapat pada manusia, moga-moga kita dapat mengambil iktibar dan dijauhkan daripada keanehan-keanehan tersebut.

Keanehan pertama:
Ramai manusia akan berasa sudah terlewat apabila waktu mula bekerja pada jam 8 pagi tetapi mereka sampai ke tempat kerja pukul 8.05 pagi. Mereka mungkin akan menyalahkan kesesakan lalu lintas tang terpaksa ditempuhi. Besoknya mereka akan bertolak lebih awal untuk memastikan mereka tidak terlambat lagi. Namun begitu lain pula keadaannya pada waktu solat. Apabila waktu solat dah masuk dan mereka tiada apa-apa perkara mustahak yang hendak dibuat pada waktu itu lebih selesa melambat-lambatkan solat hingga waktu hendak berakhir. Mereka berasa masih belum terlambat dan tiada berhutang apa-apa dengan tuan punya waktu.

Keanehan kedua:
Ramai manusia terharu melihat anak-anak kecil didera ibu bapa sendiri atau orang lain. Hati mereka tersentuh dan mengutuk orang yang melakukan kekejaman itu. Tetapi mereka tidak merasa apa-apa setelah membiarkan anak-anak tidak bersolat atau membiarkan anak-anak gadis mereka bebas mendedahkan aurat sewaktu keluar dari rumah. Padahal anak-anak tersebut bakal menerima seksaan yang amat pedih di akhirat kelak jika masih berkelakuan seperti itu. Ibu bapa seolah-olah merelakan anak mereka disiksa di dalam neraka. Bahkan ibu bapa juga akan turut dipertanggungjawabkan dihadapan Allah tentang tanggungjawab mereka.

Ini di antara keanehan manusia yang sering berlaku di dalam masyarakat kita. Sebagai orang islam, kita perlu utamakan Allah dan Rasul di dalam hidup kita. Insya Allah, kita akan berjaya di dunia dan akhirat. Marilah kita banyakkan membaca kisah para sahabat dan ulamak-ulamak terdahulu serta menyelusuri jalan-jalan mereka kerana mereka telah diiktiraf Allah sebagai golongan yang berjaya di dalam surah al-fatihah dan al-waqiah.

Wednesday, November 25, 2009

PENGHALANG-PENGHALANG KEJAYAAN...


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian yang hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam buat rasul tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Para pelajar yang disayangi sekelian,
Semua orang di dunia ini impikan kejayaan di dalam hidup mereka. Jika diberi pilihan sama ada kegagalan atau kejayaan, pasti kejayaan yang menjadi pilihan. Tiada siapa yang inginkan kegagalan di dalam hidup mereka. Tetapi tanpa kita sedar, kadang-kadang kita melakukan perkara-perkara yang boleh membawa diri kita ke arah kegagalan. Bagi memelihara diri kita terjatuh ke dalam lubuk kegagalan, kita perlu mengkaji langkah-langkah untuk menuju kejayaan. Selain daripada itu, kita juga harus mengkaji duri-duri yang menghalang perjalanan kita untuk mencapai kejayaan. Mengkaji faktor-faktor penghalang ini sama pentingnya dengan mengkaji langkah-langkah kejayaan. Kerana setelah mengetahui punca penyakit, barulah kita boleh mencari ubat yang sesuai dengan penyakit tersebut.

Di antara faktor-faktor penghalang kejayaan tersebut ialah:

1. Malas.
2. Tidak bermotivasi.
3. Tiada kehendak dan komitmen yang tinggi.
4. Tiada kemahiran belajar.
5. Mengabaikan perintah dan larangan Allah.
6. Berfikiran negatif.
7. Berimej negatif.
8. Tiada persediaan awal.
9. Terpengaruh dengan persekitaran.
10. Suka bertangguh.
11. Tidak belajar daripada kesilapan lalu.
12. Membuang masa.
13. Tidak berdisiplin.
14. Tiada keyakinan diri.

Monday, November 23, 2009

SIFAT PELAJAR CEMERLANG...


Assalamualaikum,

Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam khas untuk baginda rasulullah, Saidina Muhamad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Cuti-cuti sebegini, agak bosan sekiranya tidak ada apa-apa aktiviti yang hendak dibuat. Bagi mengisi masa lapang agar tidak terlalu bosan, saya membaca sebuah buku yang saya baru beli daripada seorang sahabat. Buku tersebut bertajuk ' Catatan Hati Nik Nur Madihah'. Helaian demi helaian saya baca dan saya renung. Banyak perkara yang menyentuh hati saya. Tak sangka seorang gadis yang dilahirkan dari sebuah keluarga yang kurang berada memiliki hati yang begitu waja. Dengan hati yang sehebat itu, akhirnya beliau mampu memperolehi kejayaan yang begitu cemerlang, 20 A didalam peperiksaan SPM.

Di sini saya nak berkongsi dengan para pembaca sekelian antara ciri-ciri pelajar cemerlang yang dinyatakan oleh srikandi ini di dalam buku ini. Moga-moga nasihat ini dapat melahirkan insan cemerlang seperti beliau.

1. Niatkan menuntut ilmu kerana Allah, bukan kerana peperiksaan.

2. Menanam rasa cinta terhadap ilmu pengetahuan.

3. Banyakkan bertanya guru di dalam kelas.

4. Memberikan sepenuh perhatian sewaktu belajar.

5. Bersedia dengan pembacaan sebelum guru mengajar.

6. Menggunakan kaedah pembacaan yang efisien iaitu membaca, faham, menghafal dan menulis kembali isi pembacaan.

7. Mengadakan perbincangan dengan teman-teman.

8. Banyakkan berfikir dan melatih otak.

9. Tidak mencampuradukkan masalah peribadi dengan pelajaran.

10. Membuat latihan persediaan lebih awal sebelum ujian dan peperiksaan.

11. Membaca buku-buku rujukan tambahan selain buku teks.

12. Membuat nota kecil.

13. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara negatif ketika belajar.

Saturday, November 21, 2009

KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM ( 2 )...



Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia...Selawat dan salam buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahl baginda serta para sahabat baginda...

Anak-anak pelajar sayang,
Bukan niat di hati untuk menghalang atau menegah anak-anak sekelian berjaya di dalam peperiksaan. Bahkan hati ini akan berasa begitu gembira sekiranya anak-anak semua berjaya menjadi pelajar yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan yang diduduki. Tapi apa yang perlu anak-anak semua tahu, tiada makna apa-apa gred A di sisi Allah sekiranya perintahNya kita ingkari dan larangannya kita lakukan. Bagaimana kita dapat tahu ini adalah perintah Allah dan ini adalah laranganNya jika kita hanya memandang sebelah mata pada ilmu Pendidikan Islam. Kita tidak diajar tentang iman dan islam secara mendalam di dalam subjek matematik. Kita juga tidak diajar tentang cara bersolat di dalam subjek sains. Semua ilmu-ilmu tersebut kita hanya dapati di dalam subjek pendidikan islam. Jadi mengapa ilmu yang kita wajib amalkan di dalam hidup kita ini kita perlu abaikan semata-mata hanya kerana periksa yang sementara?

Anak-anak sayang.
Apa yang penting bagi kita untuk berjaya menjadi pelajar yang cemerlang ialah kita perlu seimbang. Dan kita perlu adil terhadap semua ilmu yang kita pelajari di sekolah. Semua ilmu ada manfaatnya yang tersendiri. Yang paling penting, semua ilmu adalah milik Allah. Allah memuji segolong manusia di dalam Al-quran yang bermaksud :" Dan sebahagian daripada mereka telah berkata, Tuhan kami berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab api neraka." ( surah Al-Baqarah, 201 ) Melalui ayat ini Allah memberitahu kita betapa pentingnya kita menyeimbangi kehidupan kita di dunia dan di Akhirat. Kehidupan kita tidak terhenti di dunia sahaja, tetapi akan bersambung di Akhirat nanti dan itulah kehidupan yang kekal abadi. Bagaimanakah nasib kita jika kita sengsara di Akhirat nanti?

Anak-anak didik sayang,
Ilmu pendidikan Islam bukanlah dipelajari hanya sekadar untuk dimuntahkan di atas kertas periksa semata-mata. Ia adalah ilmu yang perlu dipelajari, dihayati dan diamalkan di dalam kehidupan kita sehari-hari. Tidak ada makna jika kita dapat markah 100 di dalam subjek pendidikan islam, tetapi kita tidak pernah solat. Ataupun kita bersolat hanya pada waktu-waktu yang kita suka sahaja, tidak cukup 5 waktu sepertimana yang telah diwajibkan ke atas kita. Begitu juga kita boleh memberitahu adab-adab makan apabila ditanya, tetapi kita tidak menjaga adab-adab tersebut ketika menjamu selera. Amat rugilah kita jika begitu persepsi kita terhadap pendidikan Islam.

KEPENTINGAN SUBJEK PENDIDIKAN ISLAM...


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan yang telah mencipta manusia daripada segumpal darah...Selawat dan salam khas buat Nabi tersayang, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...

Suatu hari sewaktu saya berada di dalam sebuah kelas tahun lima, saya telah diminta oleh pelajar-pelajar agar tidak mengadakan kelas tasmik untuk mereka pada tahun depan. Saya bertanyakan mereka mengapa mereka tidak mahu kelas tasmik tahun depan. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah kerana tahun depan ada kelas tambahan. Saya agak terkejut, kecewa dan sedih dengan permintaan tersebut. Terlintas di benak fikiran saya, apakah persepsi mereka sebenarnya terhadap subjek pendidikan Islam? Mengapakah mereka lebih mementingkan kelas tambahan daripada kelas Al-Quran?

Saya tidak menyalahkan mereka di dalam hal sebegini. Mungkin mereka belum tahu dan belum jelas tentang peranan dan kepentingan ilmu pendidikan Islam. Jadi sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik untuk memberitahu dan memahamkan mereka agar mereka tidak salah dalam mentafsirkan kedudukan subjek pendidikan Islam ini. Saya harap apa yang diluahkan di dalam blog ini sedikit sebanyak dapat membuka minda pelajar-pelajar SADR khasnya dan pelajar-pelajar lain amnya terhadap subjek pendidikan Islam.

Pelajar-pelajar yang dikasihi sekelian,
Subjek pendidikan Islam bukanlah subjek yang dimasukkan ke dalam KBSR disebabkan agama rasmi negara ini agama Islam. Ia juga bukannya subjek yang dimasukkan hanya untuk lulus di dalam peperiksaan dan menambahkan kuantiti A semata-mata. Subjek ini diajar bertujuan membentuk dan membina kekuatan rohani dan sahsiah para pelajar. Sebab itu komponen-komponennya terdiri daripada Al-Quran, ilmu akidah, ilmu ibadah, sirah dan ilmu akhlak. Ilmu-ilmu inilah penjana kekuatan rohani dan akhlak kita. Tanpa kekuatan rohani dan sahsiah yang baik, seseorang itu takkan mungkin dapat mengecapi kejayaan yang hakiki. Kejayaan yang perlu dikecapi oleh setiap insan bukan sekadar kejayaan di dalam akademik sahaja, tetapi yang paling penting ialah kejayaan di dalam hidup ketika berada di alam dunia, kejayaan ketika berada di alam kubur dan kejayaan ketika berada di alam Akhirat.Itulah kejayaan hakiki bagi setiap insan.

Anak-anak pelajar sekelian,
Tiada makna kita cemerlang di dalam akademik tetapi hidup kita di dunia ini tidak bahagia dan semakin jauh dari redha Allah. Begitu juga, tiada maknanya kita mendapat akademik yang terbaik tetapi di dalam kubur kita menderita. Bahkan lebih dahsyat lagi kecemerlangan akademik tersebut menjadi beban kepada kita ketika berada di dalam kubur dan di hari Akhirat nanti. Semua itu boleh berlaku sekiranya kita mengenepikan ilmu-ilmu Islam dan gagal menghayatinya serta beramal dengannya sebaik-baiknya di dalam hidup kita.

Thursday, November 19, 2009

KEJAYAAN ANAK-ANAK

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang....Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah, Pentadbir sekelian alam...Selawat dan salam kepada Nabi yang menjadi rahmat kepada seluruh alam, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda....

Hari ni merupakan detik bersejarah bagi pelajar-pelajar tahun enam seluruh Malaysia...Hari ini di serata sekolah rendah,kita dapat melihat tangisan gembira dan kecewa anak-anak ini...Hari ini juga telah membuktikan kepada mereka, adakah impian dan matlamat mereka tercapai atau tidak...Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan...Jadilah kejayaan pada hari ini sebagai langkah pertama untuk adik-adik mencipta kejayaan pada masa-masa yang akan datang...Kepada yang kurang berjaya, hari ini bukan hari terakhir dalam hidup anda...bersabar dan redhalah dengan keputusan yang diperolehi...jadikanlah natijah hari ini sebagai guru terbaik untuk adik-adik mencipta kejayaan pada hari-hari yang akan datang...Mungkin hari ini belum sampai rezeki adik-adik...Yakin dan percayalah, rezeki kejayaan adik-adik pasti akan tiba suatu hari nanti...Cuma apa yang perlu adik-adik semua lakukan ialah, lakukanlah perubahan terhadap diri adik-adik...Tahun baru pun dah hampir tiba...tanamkanlah azam dan tekad yang baru...belajarlah dari kesilapan yang ada...Insya Allah, adik-adik pasti berjaya...

Tahniah buat pelajar-pelajar SKSADR yang mendapat 5 A...Tahun ni seramai 16 orang pelajar SKSADR mendapat 5 A...Tahniah sekali lagi diucapkan...

Wednesday, November 18, 2009

SELAMAT BERCUTI!


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, pentadbir alam semesta...Selawat dan salam buat rasul junjungan tercinta, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...

Bahang cuti sekolah semakin terasa...Esok sehari lagi kita akan bersekolah dan selepas itu kita akan bercuti selama sebulan....Sedar atau tidak kita dah hampir ke penghujung tahun 2009...Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun baru...Bagaimana azam kita tahun ini? berapa peratus yang tercapai? Adakah masih ada azam yang belum tertunai...

Buat pelajar-pelajar yang menduduki STPM dan SPM, selamat menduduki peperiksaan saya ucapkan...semoga kalian diberi kemudahan oleh Allah dam menghadapi peperiksaan...

Buat pelajar-pelajar yang akan bercuti, rancanglah cuti anda dengan sebaiknya...manfaatkanlah masa cuti yang ada dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang mampu merubah diri anda menjadi lebih baik dari kelmarin, dan hari esok lebih baik dari hari ini...

SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!

Thursday, November 12, 2009

BERTEMU KEMBALI...


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam buat kekasih yang dirindui, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda...
Terlebih dahulu saya pohonkan kemaafan khususnya buat pelajar-pelajar saya yang setia bersama blog ini, sebab dah agak lama tak mengemaskini blog ni...Sebenarnya tahun ni agak sibuk sikit sebab saya kembali menjadi pelajar setelah sekian lama meninggalkan alam mengaji secara formal ni...Bukan apa, sekadar nak tambah ilmu dalam bahasa Al-Quran...Cemburu juga tengok kawan-kawan terutamanya yang jadi JU boleh bercakap arab dengan fasih...Harap-harap bolehlah tahu sedikit sebanyak rahsia bahasa yang diiktiraf oleh Allah ni...
Bila dah jadi pelajar ni, saya rasa sedikit sebanyak saya dapat selami perasaan pelajar-pelajar saya...Bagaimana harapan kita pada guru kita, begitulah harapan mereka pada kita....Bezanya mereka mungkin tak dapat nak menzahirkan harapan ini seperti kita...Namun, harapan mereka tetap tinggi setinggi harapan kita....Lalu, wajarkah harapan kanak- kanak yang suci ini kita hancurkan dengan sikap kurang ambil berat kita....Perlukah kita hancurkannya dengan hanya sedikit pengorbanan yang diminta kepada kita? Hanya kita yang mampu menjawabnya...Biarpun kita tidak menjawabnya, Allah tetap tahu apa yang tersirat di dalam hati kecil kita...
Sahabat-sahabat pendidik sekelian,
Cuba renungi mata-mata jernih anak didik kita...pasti kita dapat mengerti betapa besarnya harapan mereka kepada kita...Kepada kitalah disandarkan masa depan mereka...Jangan sampai suatu hari nanti mereka meludah batu nisan kita disebabkan kegagalan kita dalam mendidik mereka menjadi insan berguna...

Sunday, October 18, 2009

TOKOH j-QAF SK SADR 2009


Nama pelajar ini, Siti Nur Fatihah bt. Ahmad Basri. Diputerikan pada 10 April 1998 di Hospital Besar Alor Setar. Anak kedua daripada tiga adik beradik ini bercita-cita untuk menjadi seorang doktor bedah apabila dewasa nanti. Tokoh yang menjadi idola kepadanya ialah Dr. Sheikh Muzafar, Adi Putra dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kejayaan yang telah dicapai olehnya sepanjang berada di sekolah ini ialah:
1. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2005.
2. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2006.
3. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2007.
4. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun 2008.
5. Tempat pertama di dalam peperiksaan pertengahan tahun 2009.
6. Tempat kedua di dalam pertandingan bercerita peringkat PKG Alor Janggus tahun 2007.

Antara cara belajar yang diamalkan olehnya sehingga mampu memperolehi kejayaan seperti di atas ialah:
1. Memberi sepenuh tumpuan ketika guru mengajar.
2. Menyiapkan kerja rumah secepat yang mungkin.
3. Sentiasa melakukan latihan terhadap matapelajaran yang dipelajari.
4. Sentiasa cuba mendekati guru.
5. Memperutukkan sekurang-kurangnya sejam untuk belajar di rumah.
6. Selalu bertanya jika tidak memahami sesuatu pelajaran.

Thursday, October 15, 2009

GURU....WIRA DIHATI MURID


Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, ’komited’ dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.

PROGRAM MOTIVASI TAHUN 5 2009




Hari ini ( 15.10.09 ) SK Seri Amar Diraja telah mengadakan satu program motivasi khas untuk pelajar-pelajar tahun 5 sebagai persediaan mereka untuk melangkah ke tahun 6 tahun hadapan.Motivasi yang bertajuk 'mengenali diri dan potensi diri' ini disampaikan oleh Encik Yazi bin Keria, salah seorang pensyarah di IPDA. Para pelajar telah diajar mengenali diri dan potensi mereka dengan sebaiknya. Mereka juga didedahkan dengan cara bagaimana hendak menjadi anak-anak yang sayang kepada ibu bapa. Selain itu, mereka juga diajar bagaimana caranya hendak mencipta matlamat. Program ini berakhir pada pukul 1.20 petang.

Sunday, October 11, 2009

DOA PENGUNCI HAFALAN


Assalamualaikum,
Segala puji-pujian hanya layak bagi Tuhan yang maha Bijaksana. Selawat dan salam untuk rasul penyampai risalah, penunai amanah Allah dan penasihat seluruh umat, Saidina Muhammad, juga para ahli baginda serta sahabat-sahabat dan pewaris-pewaris baginda.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekelian satu amalan para ulama terdahulu untuk berjaya di dalam menuntut ilmu. Amalan ini dinamakan ' Doa pengunci hafalan'. Doa ini diambil daripada ayat 171 surah al-a'raf. Ia dibaca selepas selesai belajar atau mengulangkaji bertujuan untuk mengunci perkara-perkara telah dipelajari dalam sistem ingatan, insya Allah.
' Selamat beramal dan semoga berjaya!'

Friday, October 2, 2009

MENCAPAI ILMU YANG MANFAAT


Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Berilmu lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia, gedung ilmu yang agung, Saidina Muhammad S.A.W, para ahli baginda serta sahabat-sahabat baginda.

Sabda Rasulallah S.A.W yang bermaksud: Tuntutlah ilmu bermula dari buaian hingga ke liang lahad. Melalui hadis tersebut, rasulallah S.A.W telah menyuruh dan memerintah kita supaya sentiasa menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan. Tak kira berapa usia kita, tuntutan menuntut ilmu ini harus digalas dengan sebaiknya.

Menuntut ilmu bukanlah satu perkara yang mudah. Sebab itu Nabi Muhammad mengumpamakan keluar menuntut ilmu itu seperti keluar berjihad di medan perang dan mati di dalam menuntut ilmu dikira sebagai syahid. Dalam menuntut ilmu ini, kita memerlukan satu matlamat yang jelas bagi memudahkan kita memperolehi ilmu. Matlamat yang paling penting dan utama di dalam menuntut ilmu ini ialah memperolehi ilmu yang manfaat. Hanya ilmu yang manfaat sahaja dapat membawa dan membimbing kita mendekatkan diri kepada Allah dan membawa kita supaya lebih takut kepada Allah.

Untuk mendapatkan ilmu yang manfaat, beberapa perkara perlu dilakukan. Antaranya:


1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang alim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak..-Riwayat oleh Abd. Razak-

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT.
"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu"surah Toha ayat 114

3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW
Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim-Riwayat Abu Daud-
Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru ytang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masakita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT

Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu

Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :
Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat - Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"Surah al-Isra' ayat

4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui"surah al-Munafikun ayat 8

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya"
surah Fathiir ayat 10

5)Beramal dengan apa yang dipelajari

Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"surah al-Baqarah ayat 44

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendalah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima" surah Ali Imran ayat 187

Wednesday, September 30, 2009

SAMBUTAN AIDILFITRI SADR 2009




persembahan



pemberian duit raya


VIP menjamu selera




gotong-royong menyediakan juadah.


Wednesday, September 23, 2009

SALAM LEBARAN

Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari lebaran buat semua umat islam khasnya yang berada di Malaysia. Hari raya Aidilfitri ini merupakan kegembiraan yang pertama diberikan oleh Allah untuk orang yang berpuasa. Sepertimana sabda Rasulallah S.A.W, "bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yang pertama ketika fitri dan yang kedua ketika bertemu dengan Tuhannya nanti. Harapan kita, moga kita memperolehi kegembiraan yang kedua itu nanti. Kerana kegembiraan itulah kegembiraan yang hakiki...KULLU AM WA ANTUM BIKHAIR.

Saturday, September 5, 2009

BULAN RAMADHAN, BULAN RAHMAT

Assalamualaikum,
Sempena bulan barakah ini, marilah kita sama-sama hayati lirik nasyid di bawah. Moga kita memperolehi pengajaran yang berguna.

Bulan ramadhan bulan yang mulia
bulan rahmat dan bulan berkat
bulan kebajikan pahala berganda
bulan keampunan doa diterima
bulan keampunan doa diterima

bulan ramadhan quran diturunkan
utk panduan hidup manusia
di dalamnya ada lailatul qadar
kebaikan dibuat lebih dari seribu bulan

bulan ramadhan pintu neraka di tutup
mereka yang diazab kubur direhatkan
iblis dan syaitan kakinya dirantai
sebagai memuliakan bulan ramadhan

berlumba-lumbalah mencari keredhaan
puasa di siang hidupkan malam
banyakkanlah doa lebihkan sedekah
kawal diri drpd dosa-dosa
banyakkanlah doa lebihkan sedekah
kawal diri drpd dosa-dosa

beritikaflah kesepuluh akhir ramadhan
jika ada peluang masa pun ada
kerana ialah sunat yang digalakkan rasulullah tidak pernah meninggalkan
kerana ia sunat yang digalakkan rasullulah tidak pernah meninggalkan
ramadhan ramadhan ramadhan…. bulan rahmat

Bulan ramadhan bulan yang mulia
bulan rahmat dan bulan berkat
bulan kebajikan pahala berganda
bulan keampunan doa diterima
bulan keampunan doa diterima

bulan ramadhan quran diturunkan
utk panduan hidup manusia
di dalamnya ada lailatul qadar
kebaikan dibuat lebih dari seribu bulan

bulan ramadhan pintu neraka di tutup
mereka yang diazab kubur direhatkan
iblis dan syaitan kakinya dirantai
sebagai memuliakan bulan ramadhan

berlumba-lumbalah mencari keredhaan
puasa di siang hidupkan malam
banyakkanlah doa lebihkan sedekah
kawal diri daripada dosa-dosa
banyakkanlah doa lebihkan sedekah
kawal diri daripada dosa-dosa

beritikaflah kesepuluh akhir ramadhan
jika ada peluang masa pun ada
kerana ialah sunat yang digalakkan rasulullah tidak pernah meninggalkan
kerana ia sunat yang digalakkan rasullulah tidak pernah meninggalkan
ramadhan ramadhan ramadhan…. bulan rahmat

SELAMAT BERJUANG PELAJAR-PELAJAR SAYANG...



Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, selawat dan salam khas untuk rahmat bagi sekelian alam, Saidina Muhamad S.A.W, para ahli baginda yang suci, sahabat-sahabat baginda dan pewaris-pewaris baginda.
Pelajar-pelajar yang dikasihi,
Kini medan perjuangan kalian semakin menghampiri kalian tidak lama lagi. Bermula dengan medan UPSR, kemudian PMR dan seterusnya SPM. Buat pelajar-pelajar tahun 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5, diharap sudah bersedia dengan sebaik-baiknya. Hadapilah medan perjuangan tersebut dengan penuh keyakinan, ketenangan dan penyerahan yang tinggi kepada Allah.Insya Allah, apa yang diimpikan pastikan menjadi realiti...
Pelajar-pelajar sayang,
Kamu sebenarnya adalah insan yang hebat..Kamu sebenarnya adalah seorang juara...Kamu telah buktikan yang kamu adalah juara ketika perlumbaan yang menentukan hidup dan mati ketika kamu bergelar sperma dahulu...Diantara jutaan sperma-sperma yang lain, kamu telah menjuarainya...Bukan mudah hendak menjadi juara di dalam perlumbaan tersebut. Kamu terpaksa bertarung mengharungi perjalanan yang agak lama, iaitu kira-kira 6 jam...yang paling mengerikan, perlumbaan ini penentu hidup dan mati... hanya seorang sahaja yang boleh menjadi juara dan akhirnya boleh hidup sebagai seorang insan... Dan sekarang juara tersebut adalah kamu...Kamu sememangnya hebat...
Tetapi sayangnya apabila berada di dunia ini dan kamu menghadapi pelbagai masalah, kamu terlupa kehebatan diri kamu sebagai juara...Mengapa? Mengapa wahai para pelajar?
Ayuh bangunlah kembali wahai pelajar-pelajar sayang! Buangkanlah halangan-halangan negatif yang terdapat di dalam mindamu...Usah didengari bisikan kelemahan tersebut...Suburkanlah di dalam mindamu bahawa engkau sebenarnya seorang juara...Juara yang dicipta oleh Allah untuk menanggung dua taklif, sebagai hamba kepadaNya dan sebagai khalifah di muka bumiNya.
Ingatlah pelajar-pelajar sayang akan firman Allah yang bermaksud " zikirlah Allah banyak-banyak nescaya kamu semua akan berjaya". Di sini Allah nak menyatakan kepada kita bahawa kejayaan akan kita miliki apabila kita gantungkan anggota zahir dan hati kita kepada Allah sebanyak-banyaknya.
SEMOGA KEJAYAAN SENTIASA MENGIRINGI KALIAN....

Tuesday, September 1, 2009

RAMADHAN KARIM



Assalamualaikum,
Segala puji dan puja hanya kepada Allah, Tuhan Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana...Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta, Saidina Muhamad, para ahli baginda, sahabat-sahabat baginda serta para pewaris baginda.....
Rasanya tidak terlambat untuk diucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN...KULLU AM WA ANTUM BIKHAIR....kepada semua umat muslimin di Malaysia. Bulan bonus ini Allah berikan khas untuk umat-umat Nabi Muhammad S.A.W. Bulan yang digelar bulan rahmat, bulan maghfirah dan pesta ibadah. Tak sikit juga yang menganggap bulan ini bulan juadah, bulan berniaga, bulan mercun dan bulan kuih raya...Apapun persepsi kita pada bulan ini, janganlah sampai kita terlalai kepada Allah. Amatlah rugi seandainya bonus-bonus yang Allah peruntukan kepada kita, kita sia-siakan begitu saja. Kalau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita tidak memberikan bonus ketika menjelang raya, kita pasti akan tertanya-tanya mengapa. Tak sedikit juga yang melenting kenapa tak diberikan bonus tahun ni...Tetapi, bonus daripada raja segala raja yang maha pemurah ini, kita sia-siakan begitu saja...bahasa orang muda, buat derk aje...Mungkin bonus Allah Taala ni tak nampak dengan mata kasar. Sebab tu jarang orang berlumba-lumba untuk mengejarnya...Apa yang perlu kita sedar hari ini, bonus pemberian Allah ini bersifat kekal...Kita akan kekal memilikinya bila berada di alam akhirat nanti...Sedangkan bonus yang kita terima daripada manusia pasti tidak kekal...selalunya tak sampai sebulan berada di sisi kita....Lantas, mengapa yang ini lebih kita idamkan berbanding dengan bonus yang kekal daripada Tuhan yang Maha Kaya...Melalui laman yang kecil ini saya menyeru diri saya khasnya dan para sahabat, pelajar-pelajar dan seluruh umat islam agar rebutlah peluang mengabdikan diri kepada Allah di dalam bulan yang barakah ini. Ambillah peluang untuk menyuci jiwa kita yang sebelum ini banyak dicemari dengan titik-titik hitam. Moga kita beroleh kejayaan yang dijanjikan Allah dalam Al-quran,ayat 183 surah al-baqarah iaitu kejayaan yang dinamakan TAQWA.

Friday, June 26, 2009

WAJAH DAN HARAPAN...


Assalamualaikum...
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Sempurna...Selawat dan salam untuk sebaik-baik makhluk, Saidina Muhammad, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda.
Para rakan guru sekelian,
Melalui blog ini saya ingin kemukakan satu soalan...Pernahkah kita melihat dan merenung wajah-wajah anak didik kita sedalam-dalamnya? Jika belum, saya sarankan cubalah renungkan wajah-wajah tersebut sedalam-dalamnya mulai esok...Cuba kita lihat sinar mata yang menggunung pelbagai harapan yang tinggi kepada kita...Harapan agar suatu hari aku akan mampu mengecapi kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup...Cahaya mata tersebut tidak pernah padam kerana itulah petunjuk harapan mereka...Mereka yang suatu hari nanti akan menggantikan tempat yang telah dan sedang kita berdiri sekarang...Mahukah kita lihat nanti bilangan penagih dadah lebih ramai dari doktor? Bilangan penjenayah lebih ramai dari polis? Bilangan Mat Rempit lebih ramai dari guru dan pensyarah? Jika dilontarkan persoalan ini kepada sesiapa sahaja tentu jawapan yang kita terima adalah sama iaitu 'tidak'. Tetapi tanpa kita sedari, kita telah mengiyakannya dengan sikap dan perbuatan kita sendiri...

Sahabat-sahabat guru sekelian,
Kita takkan mampu mengubah anak-anak didik kita, selagi kita tidak berusaha mengubah diri kita sendiri. Kita takkan mampu membina generasi yang berfikiran positif jika kita sendiri masih diselubungi pemikiran negatif. Lakukanlah islah terhadap diri kita terlebih dahulu, insya Allah kit akan dapati perubahan tersebut akan berlaku terhadap anak didik kita...Pancarkanlah kekuatan kasih sayang kepada mereka bukannya kekuatan kemarahan...Biar macam mana sikap dan sifat mereka, mereka tetap anak-anak didik kita yang telah ditentukan oleh Allah kepada kita...Marilah kita belajar menyayangi mereka sepertimana kita menyayangi anak-anak kita sendiri...Jika anak-anak kita, kita sentiasa inginkan dan impikan kejayaan mereka, begitulah juga dengan anak-anak didik kita...Harapan mereka sama seperti harapan anak-anak kita terhadap diri kita...Semoga kita menjadi guru yang terbaik untuk anak-anak didik kita...

"Ya Allah, jadikanlah kami pendidik-pendidik yang terbaik untuk anak-anak didik kami. Agar dapat kami tunaikan amanah yang telah Engkau pikulkan ke atas kami, Ya Arhamarrahimin."

Monday, June 15, 2009

PEMBELAJARAN TIDAK FORMAL...


Assalamualaikum....
Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah...Selawat dan salam khusus untuk baginda Rasulallah s.a.w, ahli-ahli baginda serta para sahabat baginda....

Petang yang bertuah ini ingin rasa di hati berkongsi dengan para pembaca tentang beberapa perkara yang benar-benar menyentuh hati saya. Perkara-perkara tersebut sentiasa membuatkan saya terfikir-fikir tentang rahmat Allah ke atas para makhlukNya. Dan perkara-perkara tersebut juga membuatkan saya bersetuju dengan kata-kata, jangan menilai buku hanya pada kulitnya sahaja. Benarlah kata cerdik pandai, alam ini Allah jadikan sebagai bahan pembelajaran bagi mereka yang sentiasa berfikir.

Apakah perkara yang berlaku yang menyebabkan hati saya tersentuh?

Saya mempunyai satu tabiat pelik iaitu suka memerhati gelagat manusia. Di mana saja saya pergi, pasti saya akan melihat gelagat-gelagat manusia sekeliling dengan harapan saya akan dapat mengambil beberapa pengajaran. Ketika belajar di bumi mesir dulu, saya suka melihat gelagat orang arab terutamanya ketika berada di dalam bas. Dari situ saya dapati beberapa akhlak-akhlak mulia yang ada pada bangsa arab yang kurang ada pada bangsa melayu. Kerana sering melihat gelagat-gelagat merekalah saya sering nasihatkan kepada adik-adik baru supaya jangan hanya mencari keburukan orang-orang arab, tetapi cuba cari kebaikan-kebaikan mereka. Mereka pasti akan dapat melihat keindahan akhlak yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.

Di sekolah pula, saya akan pergi ke kantin pada waktu rehat pelajar. Disamping dapat memerhatikan gelagat anak-anak ini, saya mengambil kesempatan untuk membimbing mereka adab-adab makan yang telah mereka pelajari. Ketika bersama mereka inilah saya telah tersentuh dengan satu peristiwa yang tak pernah saya lupa hingga ke hari ini.

Ada seorang pelajar tahun enam yang merupakan seorang yang agak hardcore dalam kenakalannya. jika disebut namanya di hadapan para guru, semua guru boleh tahu bagimana perangai dan tahap kenakalannya. Apa yang menarik hati saya terhadap pelajar ini ialah suatu hari ketika dia hendak makan nasi, saya lihat dia mengangkat tangan membaca doa terlebih dahulu sebelum menjamah nasi tersebut. Perkara tersebut sentiasa dilakukan ketika dia hendak makan sesuatu makanan seolah-olah membaca doa makan, dah menjadi tabiatnya. Walaupun dia bukanlah seorang yang bijak, tetapi sekurang-kurangnya dia mampu untuk beramal dengan sedikit ilmu yang dia perolehi kerana tak semua orang boleh menjadikan membaca doa makan ini sebagai satu amalan. Melihat perilaku pelajar tersebut, saya terfikir, walaupun sering dikenali dengan sifat nakal, tetapi rupa-rupanya masih ada nilai murni yang terselindung di dalam dirinya.

Sahabat-sahabat guru sekelian,
Sebenarnya anak-anak murid kita penuh dengan potensi dan nilai-nilai murni yang terpendam dan kadang-kadang ditutupi dengan sikap dan perangai mereka yang kita tidak suka. Namun kita harus ingat dan sedar bahawa tugas kitalah nak menzahirkan potensi-potensi dan nilai-nilai murni tersebut. Kita diamanahkan oleh Allah bukan untuk menjadi hakim kepada anak-anak didik kita tapi sebagai pengajar, pendidik dan pembimbing mereka agar mereka menjadi manusia yang sentiasa mendapat pandangan baik daripada Allah dan masyarakat.

Friday, May 15, 2009

GURU MURABBI.....GURU SEJATI


Assalamualaikum,
Segala puji-dan puja hanya layak bagi Allah, pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam untuk rasul junjungan pilihan, Saidina Muhammad, para ahli baginda dan sahabat-sahabat baginda....

Suatu petang, sedang asyik mencari beberapa artikel di dalam internet, saya terbaca satu artikel indonesia yang agak menyentuh hati... Artikel tersebut menceritakan tentang seorang guru yang cukup hebat... Bersempena hari guru yang akan tiba keesokan harinya, saya datangkan di sini artikel tentang guru hebat tersebut agar kita para pendidik dapat mengambil iktibar dan membuat muhasabah supaya kita mampu menjadi sehebat guru ini.

" Bersama seorang guru di suatu sekolah di Bogor kami biasanya sering mendiskuskan pelbagai macam permasalahan dan perilaku anak-anak di sekolah tersebut. Mulai dari yang ringan sampai yang terkadang agak berat.

Suatu ketika sang guru menceritakan salah seorang muridnya yang sangat sulit sekali di didik dan diajar. Anak ini terlihat agak lambat menerima pelajaran katanya. Beberapa kali dicobakan cara yang kira-kira tepat untuk membantu anak ini, namun sepertinya belum membuahkan hasil yang membahagiakan.Sang guru masih sering berkomunikasi dan masih terus berusaha untuk membantu si murid agar bisa menjadi lebih baik, namun usaha tersebut belum berhasil juga.

Setelah lebih dari 1 tahun berselang kami bertemu lagi dengan guru tersebut. Dia menceritakan kepada kami dengan wajah yang penuh ceria dan gembira bahawa dia telah berhasil membuatkan kemajuan yang cukup beerti untuk muridnya itu. Wah, kami juga jadi ikut bahagia mendengar berita baik itu! Namun kami jadi penasaran metod apa yang telah digunakan oleh si guru tadi sehingga dia berhasil membuat muridnya menjadi lebih baik dan berprestasi lebih bagus. Dengan penuh penasaran, kami bertanya kepadanya, " ibu bagaimana caranya sampai bisa berhasil?"
" Begini bapak-bapak, suatu malam saat saya sedang beribadat, saya teringat kepada murid saya itu. Seketika itu saya coba membayangkan wajahnya baik-baik. Lalu perlahan-lahan saya mengadukan hal ini kepada Allah. Saya berkata, Ya Allah, kami sudah berusaha keras untuk membuatkan anak ini menjadi lebih baik. Kami sudah menggunakan pelbagai cara untuk membantunya. Tapi kami belum juga berhasil. Kami tidak tahu lagi harus melakukan apa. Ya Allah tolonglah kami. Kami hanya inginkan anak ini menjadi lebih baik. Lalu saya sujud sambil menitis air mata berharap supaya permohonan saya dikabulkan."

Si guru itu melanjutkan lagi ceritanya. Sungguh diluar dugaan katanya, keesokan harinya mulai terjadi perubahan dan peningkatan yang sangat signifikan terhadap kemampuan belajar si anak. Dia bukan main girangnya, betapa begitu banyak misteri dalam diri murid kita yang belum berhasil dikupas oleh pengetahuan. Namun ternyata tidaklah demikian bagi Allah. Segala yang tidak mungkin bagi kita, tidak mustahil bagi Tuhan yang Maha Kuasa.

Kami sungguh terharu mendengarkan pertuturan sang guru tadi. Tidak sedak air mata kami menitis membasahi pipi. Lalu pada malam harinya, selepas bersolat dan membaca kalam-kalam Allah, saya merenung bermuhasabah, wahai Allah, seandainya di negeri ini ada lebih banyak guru yang begitu mencintai dan menyayangi muridnya dan mahu mendoakan muridnya secara bersungguh-sungguh, saya yakin sebesar apapun persoalan yang kita hadapi akan mampu kita pecahkan. Tentunya dengan izin dan kekuatanMu ya Allah."

Sahabat-sahabat pendidik yang dihormati sekelian,
Marilah sama-sama kita upgradekan diri dari seorang muallim kepada seorang murabbi agar bumi kita ini tidak ketandusan dengan insan-insan yang akan meninggikan agama Allah yang agung ini dan tidak akan kehabisan pemuda-pemudi yang berakhlak mulia, tinggi nilai-nilai murni dan sopan santun. Dan semoga bumi ini akan diwarnai dengan anak-anak yang soleh. Kesemua ini telah Allah pertanggungjawabkan ke atas bahu kita semua sebagai seorang pendidik.

SELAMAT HARI GURU......

Sunday, May 10, 2009

IBU...KAU PERMATA HATIKU...


Ibu...
Senyummu dalam tangisan
Di saat menyambutku
Bernafas di bumi Allah ini
Kau tabahkan hatimu
Menempuh segala derita
Demi diriku
Lahir ke dunia fana ini

Kau telan segala kepahitan
dalam mendidik dan membesarkanku
Agar anakmu ini
Menjadi insan cemerlang

Namun ibu....
Tak terkira dosa-dosaku padamu
Seringkali susu putihmu itu
Ku balasi dengan tuba sikapku
Begitu juga hati sucimu
Ku lukai dengan perilakuku
Namun kau tetap teguhkan
Kota kesabaranmu
Tanpa siapapun tahu
kau titiskan air mata jernihmu
Di kalaku dibuai mimpi

Ibu....
Terima kasih atas segala jasa
Terima kasih atas segala doa
Ku tahu
tanpa restu daripadamu
Tiadalah makna segala hidupku
Ampunilah aku
Wahai ibu....

Thursday, May 7, 2009

KEKUATAN-KEKUATAN ANUGERAH ALLAH KEPADA MANUSIA


Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan yang Maha Sempurna... Selawat dan salam kepada semulia-mulia makhluk, Saidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat baginda...

Allah menyatakan di dalam surah At-Tin bahawa manusia adalah makhluk yang diciptaNya dengan sebaik-baik kejadian...Mengapa manusia diiktiraf dengan sebaik-baik kejadian? sebenarnya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih telah mengurniakan kepada semua manusia 4 kekuatan...Jika manusia menggunakan keempat-empat kekuatan tersebut dengan sebaiknya, mereka akan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat...Keempat-empat kekuatan tersebut ialah:

1) Kekuatan Rohani
2) Kekuatan emosi
3) Kekuatan minda atau akal
4) Kekuatan jasmani

Keempat-empat kekuatan tersebut perlu dibangkitkan semaksimum mungkin agar kita menjadi hamba Allah yang cemerlang seperti yang telah dinyatakan oleh Saidina Rasulallah s.a.w, mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kuat di sini bukan hanya kekuatan tubuh badan atau jasmani, tetapi meliputi keempat-empat kekuatan anugerah Allah tersebut.

Bagaimana hendak membangunkan keempat-empat kekuatan ini? Ada empat kunci yang diperlukan untuk membuka kekuatan-kekuatan tersebut. Kekuatan rohani perlu dibuka dengan kunci taqwa. Kekuatan emosi pula perlu dibuka dengan kunci tenang. Manakala kekuatan minda perlu dibuka dengan kunci positif dan kekuatan jasmani perlu dibuka dengan kunci sihat. Kita takkan mampu membuka kesemua kekuatan ini tanpa menggunakan kunci-kunci yang telah ditetapkan.

Justeru itu, ayuhlah kita sama-sama berusaha mencapai kunci-kunci tersebut agar kekuatan anugerah Allah kepada kita tidak menjadi sia-sia. Balasan bagi mereka yang mensia-siakan anugerah Allah ini telah Allah nyatakan di didalam surah yang sama iaitu firman Allah yang bermaksud "Kemudian Kami akan kembalikan mereka serendah-rendah martabat."

wallahu a'lam...

Sunday, March 15, 2009

2 SIFAT KECERDASAN SPIRITUAL YANG TINGGI.


Assalamualaikum dan salam sejahtera... Di sini saya ingin berkongsi sebuah hadis yang menerangkan tentang dua sifat orang yang memiliki kecerdasan spiritual yang tinggi.

"Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan R.A berkata, Rasulallah S.A.W bersabda, sungguh baik nasib orang yang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka dia akan bersabar, maka sabar itu baik baginya." H.R Muslim.

Begitulah hebatnya sifat orang yang beriman, iaitu mereka yang memiliki kecerdasan spiritual yang tinggi kerana keimanan yang kuat kepada Allah Taala. Di dalam kehidupan mereka, mereka sentiasa mendapat kebaikan dan rahmat daripada Allah. Ini disebabkan sifat syukur dan sabar yang tinggi yang mereka miliki. Di dalam kehidupan di dunia ini kita pasti takkan lari daripada dua keadaan ini iaitu nikmat dan ujian. Untuk menjadikan kedua-dua keadaan ini baik bagi kita kita perlulah memiliki dua sifat di atas. Berusahalah untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur atas segala anugerah dan nikmatnya dan sentiasa bersabar atas segala ujian dan bala daripadaNya.

Tuesday, March 10, 2009

YA NABI SALAMUN ALAIK...



Segala puji dan puja hanya layak bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam buat rasul tercinta, saidina Muhammad, para ahli baginda serta para sahabat.
Bulan ini bulan yang cukup berkat bagi kita. Bulan ini merupakan bulan kelahiran seorang manusia pilihan yang agung. Seorang nabi dan rasul yang mulia. Diutus Allah sebagai rahmat dan penyelamat di alam ini. Tanpanya kita tidak kenal Tuhan pencipta kita. Dan tanpanya juga kita tidak dapat membezakan yang mana hak dan yang mana batil. Terima kasih ya Allah kerana telah menganugerahi kami seorang pembimbing yang hebat. Terima kasih ya Rasulullah kerana sanggup bersusah payah demi membawa umatmu menuju jalan yang diredhai oleh Allah.
Kita takkan mungkin dapat mencapai cinta Allah selagimana kita tidak dapat mengikut rasulallah sebaik-baiknya, tidak dapat menjadikan sunnah baginda sebagai pakaian dan tidak menjadikan cinta kepada baginda sebagai cinta yang paling berharga yang perlu dijana di dalam hati. Bersempena bulan yang penuh barakah ini, marilah kita sama-sama menjadikan hari ini titik permulaan untuk kita bermujahadah mencapai cinta Allah dan RasulNya. Perbanyakkanlah berselawat ke atas Saidina Rasulallah S.A.W kerana hanya dengan berselawat ke atas baginda sahaja cinta ini dapat dilahirkan.
Ayuhlah para sahabat, jadikanlah amalan berselawat ini sebagai makanan rohanimu dan keluargamu setiap hari. Jangan biarkan hari-harimu berlalu tanpa ucapan " ALLAHUMMA SOLLI ALA SAIDINA MUHAMMAD WA ALA ALIHI WASAHBIHI WABARIK WASALLIM."

Thursday, February 19, 2009

DOA SEBELUM MEMULAKAN TUGAS


Agama islam mengajar umatnya agar memulakan sesuatu pekerjaan dengan berdoa. Ini bertujuan agar kita sedar bahawa kita hanyalah insan yang lemah dan memerlukan bantuan daripada Tuhan yang Maha Kuasa bagi menjayakan apa yang kita lakukan. Begitu juga dengan tugasan yang sering dilakukan setiap hari seperti mengajar. Seeloknya kita mulakan tugas murni ini dengan memohon kepada Yang Maha Berilmu dan Maha Bijaksana agar apa yang akan disampaikan nanti dapat memberi manfaat kepada anak didik kita. Di bawah ini disertakan sebuah doa untuk memulakan tugas. Semoga segala kerja buat kita akan mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah Taala dan dikira di sisiNya sebagai amalan yang soleh.

“Ya Allah ! Ya Tuhan kami,
Pada hari ini, kami menadah tangan memohon restu perkenan
daripadaMu, jadikanlah hari ini hari kebaikan bagi kami, hari
kesinambungan untuk kami mengejar dan memperjuangkan cita-cita murni
kami.”

“Sesungguhnya Ya Allah!, jadikanlah hari ini hari bagi kami mengorak
langkah, berhijrah dari sudut yang baik kepada yang lebih baik, dari
insan yang lemah kepada insan yang kamil dan dari tingkah laku yang
kurang baik kepada yang baik dan daripada tingkah laku yang baik
kepada yang lebih baik.”

“Ya Allah! Engkau jadikanlah segala tugas yang telah dan yang akan
kami laksanakan sebagai suatu ibadah kepada Mu jua.
Kami bersyukur ke hadratMu Ya Allah!, kerana diberi masa untuk terus
hidup, menerokai alam yang penuh dengan khazanah yang engkau ciptakan
untuk kami memikir dan mengambil ikhtibar di atas KeagunganMu.
Jadikanlah penghidupan kami ini sebagai suatu penghidupan yang penuh
keimanan dan ketakwaan kepadaMu Ya Allah.”

“Ya Allah ! Ya Rohman! Ya Rohim!
Engkau satukanlah hati-hati kami, agar kami dapat bekerja dengan jiwa
yang bersatu-padu, hormat menghormati serta percaya mempercayai,
berikanlah kami kekuatan tenaga dan akal fikiran juga kesabaran dalam
menghadapi segala cabaran dan dugaan, pimpinkanlah kami agar kami
tahu mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami, juga
pimpinkanlah kami ke atas melakukan perbuatan-perbuatan baik dan
usaha-usaha yang murni yang Engkau redai serta masukkanlah kami ke
dalam lingkungan hamba-hambaMu yang solihin iaitu dengan rahmatMu
jua Ya Allah!”

“Ya Allah Ya Robbul Alamin !
Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan
peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan
dan kerosakan diri kami sendiri, selamatkanlah kami daripada sifat-
sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh.
Lindungilah kami daripada kesesatan hati , kelalaian, kepapaan ,
kehinaan, kemalasan, beban hutang, kemiskinan dan segala sifat-
sifat yang tidak Engkau redai seperti sifat lara yang sia-sia dan
membuang masa.”

“Ya Allah!, Engkau perbaikilah kami di atas urusan agama kami yang
menjadi sandaran segala urusan kami, engkau perbaikilah dunia kami
yang menjadi tempat penghidupan kami, perbaikilah akhirat kami di
mana kami akan dikembalikan. Ya Allah!, jadikanlah kehidupan kami
sebagai tambatan setiap kebaikan untuk kami.”

Selamat berdoa dan memlakukan tugas yang mulia....

Monday, February 16, 2009

HARI SUKAN & OLAHRAGA SADR...





Sekolah Kebangsaan Seri Amar Diraja telah mengadakan hari sukan dan olahraga kali ke 30 pada hari sabtu, 14 Februari 2009 yang lalu. Majlis ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berusaha, Puan Saerah binti Hj Abdullah, guru besar sk Seri amar Diraja. Pelbagai acara dipertandingkan antaranya larian 60 meter, 100 meter, 200 meter dan 4 kali 100 meter untuk pelajar tahap dua. Manakala sukaneka pula diadakan untuk pelajar-pelajar tahap satu dan pra sekolah.

Saturday, February 14, 2009

BICARA MENENTUKAN PERIBADI


Berbicara dan bercakap-cakap adalah perkara yang menjadi lumrah kepada manusia. Kelebihan berbicara ini dinisbahkan kepada manusia ( hayawan an natiq ) menurut ilmu mantiq dalam membezakan antara manusia dan haiwan lain. Itulah di antara anugerah Allah kepada manusia yang disebut di dalam Al-Quran sebagai sebaik-baik kejadian ( surah At-tin, ayat 4 ).

Namun apa yang perlu kita sedari anugerah berbicara ini telah membahagikan manusia kepada 4 golongan iaitu :

1) Bicara orang yang bijak

Orang yang bijak apabila berbicara, setiap kata-katanya jelas dan bernilai. Setiap perbualannya sarat dengan ilmu, hikmah dan zikir, sehingga setiap orang yang mendengar berasakan manfaat daripada kata-katanya. Apabila berbicara sesuatu, dia selalu memberikan sesuatu yang berfaedah kepada orang yang mendengarnya. Kata-kata orang bijak ini selalu dinanti-nantikan. Namun, biasanya orang yang bijak tidak terlalu melepaskan kata-katanya. Bahkan, dirinya lebih senang mendengar orang lain bercakap bagi mengambil hikmah daripada percakapan itu.

2) Bicara orang biasa

Orang biasa kebiasaan bicaranya kosong tiada asas. Segala kejadian yang dilihat dijadikan cerita ataupun dijadikan ulasan. Waktu yang digunakan bagi berkata-kata lebih banyak daripada nilai yang diperoleh. Bicaranya hanya bicara kosong dan tiada nilai walaupun sedikit. Contohnya, dia hanya sibuk bercerita mengenai bola sepak, pelanggaran kereta, gosip dan isu sesuatu perkara yang tidak ada hikmahnya. Orang yang sibuk berbicara tanpa ada pengajaran, ilmu dan zikir adalah orang yang biasa. Orang yang membiarkan waktu berlalu dengan begitu sahaja.orang itu berada di dalam kerugian.

3) Bicara orang yang martabatnya rendah.

Bicara orang yang martbatnya rendah adalah bicara yangberisi keluhan, hinaan, cacian dan makian. Orang seperti ini sebenarnya tidak pernah menerima semua yang ada di hadapannya. Dia sering sahaja mencari segala kekurangan benda di sekelilingnya. Semua perkara tidak ada yang sesuai dengan kehendaknya dan menjadi perkara yang kurang senang di matanya. Golongan ini hanya berbicara mengenai keburukan sahaja. Setiap perkataan yang diungkapkan hanya merperlihatkan kehinaan dirinya.

4) Bicara orang yang dangkal.

Orang yang dangkal hanya sibuk menceritakan kehebatan dirinya sendiri. Golongan ini mahu dirinya dihargai oleh masyarakat sehingga selalu menyebut mengenai kebaikan yang dilakukannya. Biarpun kebaikan dibuat itu hanya sedikit tetapi dia ingin semua orang tahu kebaikan yang dibuat itu agar dirinya sentiasa mendapat tempat di hati manusia.

Jadi, dalam golongan manakah kita berada apabila kita berbicara? Seandainya termasuk dalam golongan yang pertama, kita tergolong di dalam golongan yang berjaya dan cemerlang. Jika kita tidak mampu menjadi orang yang bijaksana dalam berbicara, biarlah diam menjadi perhiasan mulut dan lidah kita. Orang yang sanggup memelihara lidahnya lebih hebat berbanding dengan orang yang suka menghambur kata-kata, tetapi kosong dan tiada makna. Jadikanlah sabda Rasulallah s.a.w ( barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berbicara perkara yang baik ataupun diam ) sebagai panduan kita apabila ingin berbicara. Ingantlah Allah Taala maha mendengar setiap patah perkataan yang terbit dari bibir kita. Semoga Allah yang maha mendengar meletakkan kita di kalangan hamba-hambaNya yang berasa diri mereka hampir dengan Allah.

Wallahu a’lam.

Monday, February 2, 2009

Solat dan kejayaan.


Solat merupakan proses perjalanan spiritual yang penuh makna yang dilakukan oleh seorang manusia untuk menemui Tuhan Semesta Alam. Setiap hari, sejak kecil kita selalu mendengar ucapan sebegini ‘ Marilah bersolat, marilah menuju kejayaan,’ tetapi di dalam bahasa arab. Kadang-kadang kita mendengarnya secara langsung dari masjid atau surau yang berdekatan dengan rumah kita. Kadang –kadang kita mendengarnya dari peti televisen ataupun radio. Ini bermakna kejayaan sebenarnya tersembunyi dalam amalan solat. Mengapa amalan solat dapat membina kecemerlangan dan kejayan seseorang? Sebagai pencipta manusia yang Maha Bijaksana, Allah Taala telah mengetahui amalan yang terbaik untuk hamba-hambaNya dalam mencipta kecemerlangan hidup. Maka dengan sifat Maha Pemurah dan Maha PenyayangNya, Dia anugerahkan ibadah solat kepada kita. Di dalam solat terdapat lima unsur yang berkemampuan membangkitkan kecemerlangan di dalam diri kita iaitu :

  1. Meditasi atau doa yang teratur, minima lima kali sehari.
  2. Relaksasi melalui gerakan – gerakan solat.
  3. Saranan positif dalam bacaan-bacaan solat.
  4. Terapi berkumpulan ( group therapy ) dalam solat jamah.
  5. Terapi air ( hydro therapy ) dalam wudhuk sebelum bersolat.

Sebab itulah apabila umat islam mengambil berat tentang ibadah teragung dalam agama ini, umat islam akan menjadi umat yang maju dan cemerlang. Maka dengan itu, marilah kita bersama mengambil berat tentang solat. Solatlah secara berjamaah, di awal waktu dan di tempat azan dilaungkan. Sekiranya kita ingin memformatkan diri kita kerana terlampau banyak virus yang menghalang kita daripada berfungsi dengan baik, peliharalah solat kita sebaiknya dan ditambahkan dengan solat sunat taubat dan tahajud, insya Allah kejayaan akan datang mengejar kita sepertimana kita berkejaran untuk menunaikan solat.

Monday, January 26, 2009

KAEDAH MEMBENTUK SIKAP POSITIF.

  1. Bersangka baik.

Asas dalam membentuk sikap positif di dalam diri adalah bersangka baik. Selalulah bersangka baik pada Allah Taala, diri sendiri dan manusia lain. Allah menjadikan kita lengkap dengan pelbagai keperluan asas untuk berjaya. Kita dikurniakan akal, ingatan, tubuh badan yang sihat dan anggota badan yang lengkap, pacaindera yang cukup dan hati yang mahu berjaya. Jangan menghalang diri kita daripada mencapai kejayaan.

  1. Jangan banyak alasan.

Orang yang bersikap negative sering berfikir bahawa dirinya tidak semampu orang yang sudah berjaya ataupun tidak memiliki kebolehan seperti orang lain. Mereka sering mencari dan memberi alas an kenapa orang lain boleh berjaya dan kenapa dirinya tidak berjaya. Bahkan mereka sering meletakkan segala kesalah pada faktor-faktor lain seperti masa dan keadaan apabila tidak berjaya. Mereka ini banyak karenah dalam hal menuju kejayaan dan kemajuan. Jika kita ingin menjadi orang yang berjaya, mulai sekarang berhentilah daripada memberi alasan.

  1. Sentiasa berfikir mendahului.

Sentiasalah berfikir kita boleh. Sentiasalah berfikir bahawa kita perlu memulakan dulu barulah perkara itu boleh selesai. Sentiasalah berfikir kita perlu bertindak dahulu barulah pekerjaan itu menjadi sempurna. Fikirlah untuk melakukan, jangan berfikir untuk melihat orang lain melakukan dahulu brulah kita melakukannya.

  1. Yakin pada kebolehan sendiri.

Sekiranya kita sendiri tidak yakin pada kebolehan kita, janganlah kita harapkan orang lain dapat yakin kepada kita. Itulah antara syarat asas yang perlu dipegang oleh insane yang benar-benar mahu cemerlang. Keyakinan pada diri sendiri dapat dibentuk dengan persediaan yang cukup dari sudut ilmu dan kemahiran serta yakin pada janji Allah. Sesungguhnya sesiapa yang rajin berusaha pasti akan berjaya, walau dalam apa bidang sekalipun. Sentiasalah bermuhasabah dan menilai diri sendiri bagi meningkatkan keyakinan diri kita.

Saturday, January 17, 2009

PENDIDIKAN DALAM ISLAM


PENGERTIAN DAN MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM

Matlamat (al-ghoyah) pendidikan Islam yang utama dan tertinggi ialah untuk membawa manusia mengenal penciptanya, mengabdikan diri sepenuhnya hanya kepada Allah, melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan penuh redha.

Tujuan serta matlamat dekat dan khusus (ahdaf) pendidikan Islam dirumuskan oleh Dr Abdur Rahman Salih di dalam bukunya, dalam tiga matlamat atau tujuan, iaitu matlamat yang bersifat fizik (ahdaf jismiyah, bersifat mental (ahdaf ‘aqliyah) dan bersifat kerohanian (ahdaf ruhaniyah).

Antara tujuan khas pendidikan Islam juga telah dikemukakan oleh al-Syaibani, iaitu:

  • (a) memperkenalkan generasi muda dengan aqidah Islam, dasar-dasarnya, usul-usul ibadah, dan cara-cara melaksanakannya dengan betul, membiasakan mereka mematuhi aqidah Islam dan menjalankan serta menghormati syiar-syiar ad-din;
  • (b) menumbuhkan kesedaran yang betul dalam diri anak-anak terhadap din, termasuk prinsip-prinsip, dan dasar-dasar akhlak yang mulia, menyedarkannya akan bid’ah, khurafat, kepalsuan dan kebiasaan usang yang melekat tanpa disedari, sedangkan Islam bersih;
  • (c) menanamkan keimanan kepada Allah, malaikat, rasul, kitab-Nya dan hari akhirat berdasarkan kefahaman, kesedaran dan kehalusan perasaan;
  • (d) mendidik naluri, motivasi dan keinginan anak-anak, membentenginya dengan aqidah dan nilai-nilai syara’ serta membiasakan mereka menahan rang-sangan dalaman, mengatur emosi dan membimbingnya dengan baik; dan
  • (e) membersihkan hati anak-anak daripada sifat dengki, hasad, iri hati, benci, kasar, zalim, ego, menipu, khianat, nifak, ragu- ragu serta sifat-sifat buruk dan hina.

METOD PENDIDIKAN ISLAM

Setelah kita memahami tujuan dan dasar pendidikan Islam, kita perlu memahami metod yang boleh digunakan untuk merealisasikan sistem ini. Berdasarkan tulisan Muhammad Qutb dan an-Nahlawi, metod pendidikan Islam boleh dirumuskan seperti berikut:
(a) mendidik melalui dialog Qurani dan Nabawi;
(b) mendidik melalui kisah Qurani dan Nabawi;
(c) mendidik melalui perumpamaan;
(d) mendidik melalui teladan;
(e) mendidik melalui amal perbuatan;
(f) mendidik melalui ‘ibrah dan mau’izhah; dan
(g) mendidik melalui targhib dan tarhib.

Penekan-penekanan yang harus diberi dalam pendidikan anak-anak

Untuk melahirkan kanak-kanak yang berjiwa ‘teguh’ terhadap Islam, berkeperibadian seimbang dan bersifat rabbani, maka mereka seharusnya menerima pendidikan menyeluruh dan seimbang. Justeru itu para pendidik (murabbi) dalam menyediakan bahan-bahan pendidikan mereka hendaklah menyentuh semua aspek yang diperlukan bagi mencapai kesempurnaan hidup sebagai manusia.

Antara silibus pendidikan-pendidikan yang perlu diberi perhatian ialah:

1. Pendidikan Keimanan (Pendidikan Imaniyah)

1.1 Pendidikan Keimanan kepada Allah

1.2 Pendidikan Jiwa dengan akhlak mulia (Sifat Al-Hikmah, Sifat Al-Iffah, Sifat Asy-Saja’ah, Sifat Al-Adalah)

2. Pendidikan Kerohanian (Pendididikan Ruhaniyyah)

3. Pendidikan Aqal (Pendididikan Aqliah)

4. Pendidikan menanamkan kemerdekaan Jiwa (Pendididikan Nafsiah)

5. Pendidikan Kesihatan Jasmani (Pendididikan Jismiah)

6. Pendidikan Pergaulan (Pendididikan Ijtima’)

7. Pendidikan Kemahiran.